KDNK M’sia dijangka 4.3% Q2

KDNK M’sia dijangka 4.3% Q2

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Affin Hwang Capital menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia pulih daripada 4.1 peratus berbanding tahun ke tahun pada separuh pertama 2016, kepada kira-kira 4.3 peratus pada separuh kedua, menjadikan pertumbuhan tahun penuh kepada kira-kira 4.2 peratus.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma itu berkata pertumbuhan akan disokong oleh aktiviti pembuatan yang kukuh dalam industri berorientasikan eksport seperti produk pembuatan, terutamanya barangan elektronik dan elektrik serta pemulihan dalam harga komoditi seperti sawit, minyak mentah dan gas asli cecair.

Sementara itu, Indeks Pengurus Malaysia (PMI) pembelian Malaysia susut 0.7 mata kepada 47.4 pada Ogos berbanding 48.1 pada Julai, bulan ke-17 berturut-turut di bawah paras 50, yang berpurata pada kira-kira 47.9 sejak April 2015 hingga Ogos 2016, kata Affin Hwang.

Kelemahan trend PMI konsisten dengan petunjuk ekonomi domestik lain, di mana pertumbuhan dalam sektor pembuatan Malaysia perlahan bagi suku kedua daripada 4.5 peratus berbanding tahun ke tahun pada suku pertama 2016 kepada 4.1 peratus pada suku kedua 2016, paling sedikit sejak suku kedua 2013. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA