KDNK M’sia melebihi AS$1 trilion

KDNK M’sia melebihi AS$1 trilion

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) – Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand dijangkakan menyertai negara Asia lain yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$1 trilion menjelang 2030, demikian menurut kajian oleh syarikat maklumat global yang berpejabat di Amerika Syarikat, IHS Inc.

“Ini akan membantu meningkatkan kedudukan ASEAN yang penting dari segi geografi dan ekonomi dalam diplomasi antarabangsa serta dialog global dalam perdagangan, pelaburan dan penetapan piawaian antarabangsa,” kata Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Rajiv Biswas.

Dalam satu kenyataan hari ini, IHS berkata Asia Tenggara dijangkakan menjadi antara rantau paling pesat berkembang di dunia menerusi empat anggota ASEAN berkenaan.

Merujuk Malaysia sebagai bakal ekonomi paling maju di Asia, laporan IHS menyebut bahawa ekonomi Malaysia diunjur mencatat KDNK per kapita AS$20,000 menjelang 2025, dengan jumlah KDNK melepasi AS$1 trilion menjelang 2030.

Biswas berkata struktur ekonomi Malaysia akan terus bergerak ke arah perkhidmatan dan pembuatan bernilai tambah yang tinggi.

“Industri pertumbuhan strategik dalam sektor pertumbuhan meliputi perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, penerbangan komersial, pelancongan dan industri penyumberan luar proses perniagaan-IT, apabila Malaysia menjadi ekonomi yang semakin penting dalam perkhidmatan dan ekonomi pengeksportan perkhidmatan bagi Asia Tenggara,” kata Biswas.

KDNK Indonesia dijangkakan berkembang pada kadar lima peratus setahun dalam tempoh 2016-2020, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam permintaan pengguna dan pelaburan infrastruktur, katanya.

Filipina pula katanya, telah menunjukkan purata pertumbuhan KDNK yang pesat pada sekitar enam peratus setahun dalam tempoh 2011-2015, dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8 peratus diunjurkan dalam tempoh 2016-2018.

Sementara itu, pasaran Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos juga diunjurkan terus berkembang pesat.

ARTIKEL YANG SAMA