KDNK suku ke-4 2015 susut

KDNK suku ke-4 2015 susut

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Dalam tempoh suku keempat 2015 (Q4 2015), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Negara Brunei Darussalam pada harga semasa dianggarkan berjumlah B$4.3 bilion berbanding B$5.2 bilion pada Q4 2014.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Sektor Industri Minyak & Gas bernilai B$2.3 bilion yang menyumbang sebanyak 52.4 peratus pada keseluruhan KDNK (Lihat carta).

Dari segi pertumbuhan KDNK pada harga tetap, Q4 2015 mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus tahun-ke-tahun setelah mengalami peningkatan sebanyak 2.4 peratus pada Q3 2015. Penurunan ini adalah disebabkan oleh penurunan Sektor Industri Bukan Minyak & Gas sebanyak 4.8 peratus, Sektor Perkhidmatan 0.4 peratus dan Sektor Industri Minyak & Gas 0.2 peratus.

Bagi keseluruhan tahun 2015, KDNK pada harga tetap terus menurun sebanyak 0.6 peratus setelah mengalami penurunan sebanyak 2.3 peratus pada tahun sebelumnya. Penurunan pada tahun 2015 adalah disebabkan oleh penurunan Sektor Perkhidmatan sebanyak 1.6 peratus.

Menurut JPKE, pada Q4 2015, Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan telah meningkat sebanyak 2.5 peratus disebabkan oleh peningkatan dalam Perikanan sebanyak 15.5 peratus.

pg02_160330_a

Sektor Industri Minyak & Gas menurun sebanyak 0.2 peratus disebabkan oleh penurunan Sektor Perlombongan Minyak & Gas sebanyak 1.2 peratus pada Q4 2015. Walaupun pengeluaran Minyak Mentah dan Gas mengalami peningkatan, perlombongan lain termasuk perkhidmatan sokongan untuk perlombongan adalah penyebab utama penurunan Sektor Industri Minyak dan Gas.

Pada suku terakhir 2015, Sektor Industri Bukan Minyak & Gas juga mengalami penurunan sebanyak 4.8 peratus. Ini adalah disebabkan oleh penurunan Sektor Pembinaan sebanyak 7.4 peratus dan Lain-lain Pembuatan sebanyak 12.6 peratus.

Sektor Perkhidmatan juga telah menurun sebanyak 0.4 peratus pada Q4 2015 terutamanya disebabkan oleh penurunan Sektor Kewangan sebanyak 12.3 peratus berdasarkan sumbangan kepada kadar pertumbuhan yang mana aktiviti-aktiviti perbankan mengalami kelembapan. Perkhidmatan Kerajaan yang mencatatkan penurunan sebanyak 2.1 peratus juga menyumbang kepada penurunan Sektor Perkhidmatan.

KDNK mengikut pendekatan perbelanjaan mencatatkan peningkatan kepada Perbelanjaan Penggunaan Persendirian sebanyak 4.2 peratus, diikuti oleh Eksport Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 1.2 peratus.

Bagaimanapun, Pembentukan Modal telah menurun sebanyak 21.3 peratus, diikuti oleh Perbelanjaan Penggunaan Kerajaan sebanyak 5.8 peratus, dan Import Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 21.5 peratus.

KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran. Laporan penuh KDNK Q4 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA