KDNK suku pertama M’sia 4%

KDNK suku pertama M’sia 4%

SHAH ALAM, 22 April – Berdasarkan kedudukan ekonomi dunia yang lemah, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama (Q1) 2016 diunjurkan berkisar pada empat peratus.

Dekan Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng berkata ekonomi dunia yang kini perlahan serta harga komoditi dan pasaran kewangan yang turun naik, akan menjejaskan KDNK. Tahun lepas, ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus pada Q1.

“Kedudukan harga yang tidak menentu bagaimanapun tidak banyak memberi tekanan ke atas pertumbuhan KDNK negara memandangkan ekonomi negara tidak terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas, malah disokong baik oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Dan memandangkan indeks perbelanjaan pengguna yang menyaksikan peningkatan sejak suku keempat tahun lepas sehingga Februari tahun ini, kita mampu mengekalkan dan menguruskan pertumbuhan munasabah sebanyak empat peratus pada Q1, dan sudah pasti antara empat peratus dan 4.5 peratus sepanjang tahun seperti yang dijangkakan meskipun berhadapan persekitaran yang mencabar,” katanya.

Bagaimanapun, isu penstabilan ini perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ekonomi terus dipacu dari dalam, katanya kepada Bernama selepas Persidangan Ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana Digi 2016 di sini pada Khamis.

Mengenai kedudukan ringgit semasa, Yeah menjangkakan prestasi mata wang tempatan akan berada pada paras sedia ada tahun ini, didagangkan antara RM3.90 dan RM4.00 kepada dolar AS.

Beliau berkata mata wang tempatan memulakan trend menurun tahun lepas ekoran penggiat pasaran memberi tindak balas ke atas isu seperti kejatuhan harga minyak global, 1Malaysia Development Bhd dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA