KDNK suku pertama Thailand meningkat

KDNK suku pertama Thailand meningkat

BANGKOK, 16 Mei (Bernama) – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dalam suku pertama berkembang sebanyak 3.2 peratus, ini merupakan satu lagi tanda positif yang mencerminkan pemulihan ekonomi negara tersebut, kata Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Sosial Thailand (NESDB).

Serentak dengan perkembangan itu, lembaga tersebut telah menaikkan unjuran KDNK setahun penuh kepada 3.5 peratus berbanding 2.8 peratus yang diumumkan pada bulan Februari lepas.

“Enjin utama yang menggerakkan pertumbuhan negara itu dalam tahun ini adalah keberkesanan langkah-langkah rangsangan ekonomi oleh kerajaan dan perbelanjaan negeri yang telah melonjakkan penggunaan isi rumah.

“Pemulihan ekonomi yang positif pada suku pertama ini mungkin akan meningkatkan keyakinan di kalangan pelabur-pelabur asing,” kata Ketua Setiausaha NEDSB Porametee Vimolsiri.

Unjuran pertumbuhan tahun ini dibuat berdasarkan harga minyak mentah yang berlegar antara US$35 dan US$45 setong dan kadar inflasi sebanyak 0.1 hingga 0.9 peratus.

Bagaimanapun, eksport dijangka menguncup sebanyak 1.7 peratus tahun ini dengan import mencatatkan penurunan sebanyak 4.6 peratus dengan lebihan dagangan diramalkan pada 39.1 bilion Baht (RM1 = Baht8.51).

Porametee berkata, industri pelancongan telah membantu ekonomi Thailand.

Thailand dijangka akan dilawati seramai 33 juta pelancong dalam tahun ini berbanding dengan hanya 32.5 juta pelancong pada tahun lepas, pertambahan sebanyak 10.4 peratus.

Pendapatan daripada industri pelancongan juga dijangka menokok kepada 1.69 trilion Baht dalam tahun ini, meningkat sebanyak 10.4 peratus, daripada 2015.

ARTIKEL YANG SAMA