KDYMM ceriakan Tamu Kianggeh

KDYMM ceriakan Tamu Kianggeh

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi ini berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Tamu Kianggeh di ibu negara untuk melihat secara lebih dekat aktiviti-aktiviti jual beli di situ.

Keberangkatan Baginda yang tidak disangka-sangka itu ternyata menggembirakan para peniaga yang jelas mencerminkan keprihatinan dan sikap pemedulian Baginda terhadap soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Semasa lawatan, Baginda berkenan beramah mesra dengan para peniaga di satu-satunya tamu yang terletak di pusat bandar.

Para peniaga dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjunjung kasih dan beramah mesra serta bergambar bersama Baginda.

Turut hadir semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar, Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan seorang peniaga di Tamu Kianggeh ketika mengadakan lawatan mengejut semalam.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan seorang peniaga di Tamu Kianggeh ketika mengadakan lawatan mengejut semalam.

KDYMM berkenan meninjau salah sebuah gerai jualan.

pg03_160208_d

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Tamu Kianggeh, semalam. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Tamu Kianggeh, semalam. – Gambar-gambar oleh Infofoto

KDYMM berkenan meninjau salah sebuah gerai jualan.

pg03_160208_e

Tamu Kianggeh yang merupakan pasar terbuka dan terletak di tepi Sungai Kianggeh memang terkenal dan menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong asing yang datang ke Negara Brunei Darussalam. Tamu tersebut menjual pelbagai barangan termasuk juadah dan buah-buahan tempatan, ikan, sayuran, kraf tangan serta produk-produk tradisional buatan tempatan yang lain.

Tamu Kianggeh yang bermula pada awal 1960-an dahulunya merupakan tempat para padian wanita menjual pelbagai hasil produk mereka dengan menggunakan sampan yang juga dikenali sebagai jumpung dan tempat ini juga dikatakan pernah menerima lawatan daripada Ratu Elizabeth II sebanyak dua kali dan juga Pewaris Tahkta United Kingdom, Putera Charles sekitar tahun 1980-an.

Pada 14 Disember lalu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong mengumumkan bahawa Tamu Kianggeh akan dipindahkan ke kawasan Tamu Baru Gadong menjelang Mac ini untuk memberikan keselesaan kepada penjaja dan pelanggan dalam suasana yang lebih baik, bersih, teratur, selesa dan selamat, sekali gus menjadi satu tamu yang menawarkan segala keperluan orang ramai dalam satu kawasan.

Menurut Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri empat lokasi di Gadong akan disediakan untuk peniaga-peniaga Tamu Kianggeh yang akan dipindahkan itu.

Tiga daripada lokasi kekal tersebut ialah di tingkat satu bangunan Pasar Gadong, bagi jualan makanan kering/barangan runcit; kawasan Tamu Gadong (berpayung) bagi jualan makanan dan minuman, kuih muih dan kraf tangan sebanyak 150 lot; dan bekas bangunan jualan daging dan ayam (bersebelahan bangunan Pasar Gadong), bagi jualan sayur dan buah-buahan.

Manakala itu, satu lagi adalah lokasi sementara di kawasan Tamu Gadong bersebelahan Sungai Menglait bagi peniaga/penjaja setiap Jumaat dan Ahad yang dibenarkan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan sahaja, yang mana kad nama akan dikeluarkan kepada setiap peniaga/penjaja yang telah diberikan kebenaran sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA