Ke arah pengadilan yang lebih baik

Ke arah pengadilan yang lebih baik

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Seramai 29 orang pengadil dan tiga orang pengajar pengadil tempatan kini sedang mengikuti Kursus Pengadilan Liga Remaja Domestik 2016 anjuran Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

Memudah cara kursus yang disertai para pengadil Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD 2016 di NFABD House itu ialah Pegawai Perkembangan Pengadilan FIFA, Mohamad Rodzali bin Yacob dari Malaysia.

Turut hadir pada hari pertama kursus lima hari itu yang akan turut memuatkan sesi amali dijalankan di Padang Astro Turf NFABD itu ialah Pemangku Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Haji Hamidon bin Haji Matzin.

Antara lain tujuan kursus itu diadakan adalah untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan para pengadil khususnya undang-undang baru dalam Undang-Undang Perlawanan (Law of The Game) dan terjemahan serta pelaksanaannya yang tepat dan sesuai dalam suasana Liga Remaja.

Mohamad Rodzali ketika mengendalikan kursus menjelaskan bahawa kursus itu sangat penting buat para pengadil kerana matlamatnya adalah untuk semua pengadil mengamalkan amalan pengadilan bola sepak antarabangsa terkini dan meninggalkan yang lama.

Peserta Kursus Pengadilan Liga Remaja Domestik 2016 bersama Mohamad Rodzali (4 dari kanan) dan Haji Hamidon (tengah).
Peserta Kursus Pengadilan Liga Remaja Domestik 2016 bersama Mohamad Rodzali (4 dari kanan) dan Haji Hamidon (tengah).

Menurutnya lagi, setiap pengadil perlu positif dan harus ada cita-cita mencapai tahap tertinggi dalam dunia pengadilan bola sepak walaupun bukan bertaraf FIFA.

Setiap pengadil mempunyai kekurangan masing-masing yang perlu diperbaiki, ujarnya sambil menegaskan bahawa apa yang paling penting adalah setiap pengadil perlu menunjukkan persembahan terbaik dengan menunjukkan kelebihan masing-masing ketika bertugas di atas padang.

Menerusi kursus itu beliau berharap semua pengadil akan melalui perubahan walaupun sedikit yang mampu menggembirakan NFABD dan berupaya menyediakan setiap pengadil untuk menyertai ‘Kelompok Lebih Baik’ contohnya bertugas dari Liga Remaja ke Liga Perdana mahupun Liga Super.

Mohamad Rodzali turut memberi nasihat kepada para pengadil supaya sentiasa melakukan yang terbaik, memperlihatkan kebolehan masing-masing, bertugas sebagai satu pasukan, menunjukkan personaliti yang teguh dan tidak kurang pentingnya juga adalah untuk menetapkan sasaran tertinggi.

ARTIKEL YANG SAMA