Ke arah perancangan yang lebih efektif

Ke arah perancangan yang lebih efektif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Penyertaan para peserta dalam Program Pembangunan Eksekutif memberikan peluang kepada mereka untuk membuat perubahan dan perancangan organisasi yang efektif supaya ia mampu memenuhi keperluan yang pesat berubah dan dalam suasana yang mencabar.

Bagi para peserta program dari Negara Brunei Darussalam, ia bererti untuk menumpukan usaha mereka ke arah merealisasikan Wawasan 2035, jelas Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar ketika berucap pada Perasmian Program Pembangunan Eksekutif ke-13 Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata lagi, dalam penggubalan dasar, kekangan yang dihadapi adalah sumber kewangan dan tenaga manusia yang terhad. Oleh itu, realiti itu memaksa kita untuk menilai semula strategi-strategi kita supaya dapat mencapai matlamat organisasi dan negara.

Pada masa yang sama, Datin Paduka Hajah Suriyah juga berkata, program itu merupakan komponen penting dalam perkembangan profesional bagi pegawai-pegawai tentera dan awam.

Dalam hubungan itu, Kementerian Pertahanan terus berusaha untuk memperbaiki lagi program berkenaan supaya ia selaras dengan Wawasan 2035.

Datin Paduka Hajah Suriyah bergambar ramai dengan para peserta program dan jemputan khas selepas majlis perasmian itu.
Datin Paduka Hajah Suriyah bergambar ramai dengan para peserta program dan jemputan khas selepas majlis perasmian itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif bagi Pendidikan Eksekutif, Lee Kuan Yew School of Public Policy, Wu Ye-Her berkata bahawa sejak diperkenalkan pada 2004, program yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan, Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Lee Kuan Yew School of Public Policy terus berkembang secara positif.

Menurut beliau, kepentingan program itu dapat disaksikan dengan jumlah peserta yang menyertai program itu bagi 2016 iaitu seramai 30 orang pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pelbagai kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Pendidikan dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam, dari Pasukan Polis Diraja Brunei serta pegawai-pegawai kanan tentera dari negara-negara sahabat iaitu China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Beliau juga berkata, penganjuran program itu menunjukkan hubungan kerjasama yang erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bukan sahaja dalam bidang pertahanan tetapi juga dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kebudayaan, pendidikan, perubatan dan sukan.

Program yang berjalan selama tiga bulan bermula 29 Ogos hingga 25 November itu, merupakan program ketat yang direka dan dimajukan dengan tumpuan kepada dasar awam dan pengurusan.

Program itu dikendalikan oleh badan fakulti yang terdiri daripada pakar-pakar dan ahli akademik yang berpengalaman. Selain daripada sesi kuliah, para peserta juga akan mengadakan lawatan ke kementerian-kementerian dan agensi yang relevan dengan hasrat untuk memberikan mereka pendedahan kepada dasar awam yang dilaksanakan.

Program itu akan melengkapkan para peserta dengan rangka kerja konseptual dan bahan terkini untuk terus maju dalam perkhidmatan mereka di mana mereka akan menerokai trend-trend dalam amalan pengurusan, mendapat perspektif baru bagi pengurusan dan dasar awam serta untuk meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan asas mereka.

Mereka juga dijangka akan menggunakan pendekatan pelbagai disiplin untuk menganalisis program dan dasar-dasar serta implikasi dan hasilnya.

ARTIKEL YANG SAMA