Ke arah perkhidmatan yang lebih efektif

Ke arah perkhidmatan yang lebih efektif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Bermula hari ini, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi (Perkhidmatan Pesakit Luar) di Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Kiarong akan dipindahkan sepenuhnya ke Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah (PAPHMWHB), Kampung Rimba.

Ketua Pusat Kesihatan PAPHMWHB, Dr. Haji Norzaidi bin Haji Saini semasa ditemui hari ini menjelaskan, penduduk yang tinggal di bawah tadahan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Kiarong kecuali Kampung Subok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Pusat Kesihatan PAPHMWHB.

“Manakala para penduduk dari Kampung Subok pula dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Pusat Kesihatan Berakas, Jalan 10 Selatan, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, Berakas.”

Menurut beliau lagi, bermula hari ini juga, Pusat Kesihatan PAPHMWHB menambah waktu perkhidmatannya dari jam 7 pagi sehingga 6 petang, dari hari Isnin sehingga Khamis dan Sabtu.

Beliau turut menjelaskan bahawa, perkhidmatan yang diberikan di pusat kesihatan ini menggunakan perjanjian masa untuk membantu orang ramai dalam mendapatkan perkhidmatan yang lebih efisien, tepat dan bermanfaat.

Suasana di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Rimba.
Suasana di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Rimba.
Ruang menunggu yang disediakan bagi keselesaan para pengunjung di pusat kesihatan berkenaan.
Ruang menunggu yang disediakan bagi keselesaan para pengunjung di pusat kesihatan berkenaan.
Dayangku Sukadinoor semasa ditemui media.
Dayangku Sukadinoor semasa ditemui media.

“Orang ramai yang ingin berjumpa doktor dinasihatkan membuat perjanjian masa terlebih dahulu di kaunter atau menghubungi talian 2424991,” ujarnya.

Menyentuh mengenai inisiatif penyepaduan ini, beliau berkata, ia selaras dengan salah satu keutamaan strategik utama Kementerian Kesihatan untuk memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan melalui penyepaduan perkhidmatan dan kemudahan serta infrastruktur sedia ada.

Penyepaduan ini juga diharap dapat memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan pembaziran.

Menurut beliau lagi, pusat kesihatan ini merupakan pusat kesihatan yang mempunyai kapasiti besar dengan infrastruktur dan kemudahan yang dibina khas sebagai sebuah pusat kesihatan.

“Perkhidmatan kesihatan yang disediakan di sini bercirikan perkhidmatan di bawah satu bumbung (One Stop Health Centre) dengan pelbagai perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan asasi, kesihatan ibu dan anak, pergigian, farmasi, kesihatan mata, pemakanan komuniti, psikologi masyarakat, pengambilan darah dan sebagainya.”

Oleh itu, penyepaduan ini bukan sahaja mampu menampung keperluan penduduk, malah ia dapat merealisasikan pemberian perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang lebih komprehensif, berkualiti, selamat dan mesra pelanggan bagi rakyat dan penduduk di negara ini.

Dr. Haji Norzaidi ketika ditemu bual mengenai pusat kesihatan berkenaan.
Dr. Haji Norzaidi ketika ditemu bual mengenai pusat kesihatan berkenaan.

Bercakap mengenai kemudahan tambahan di pusat tersebut, di samping menambahkan waktu beroperasi, bahagian pengambilan darah juga menambahkan perkhidmatan mereka dengan penambahan kaunter dan kaunter bagi warga emas.

Salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Dayangku Sukadinoor binti Pengiran Haji Mohd Salleh berkata, pemindahan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi (Perkhidmatan Pesakit Luar) di Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Kiarong ini memang mendatangkan kebaikan.

Beliau menyatakan pusat ini telah pun menunjukkan perkhidmatan yang begitu efisien terutama sekali jangka masa menunggu kini dikurangkan. Beliau juga bergembira dengan adanya kawasan letak kereta yang luas dan mencukupi jika dibandingkan dengan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping).

Seorang lagi pengunjung, Dayang Rosinah binti Haji Hasmit juga berpendapat, penyepaduan ini akan dapat membantu orang ramai terutama sekali bagi mereka yang tinggal berdekatan kawasan Kampung Rimba dan sekitarnya.

Beliau yang tinggal di Kampung Katok merasa gembira dengan pemindahan ini kerana ia tidak memakan masa yang lama untuk menuju ke pusat tersebut dengan kemudahan dan suasana di pusat ini mencukupi dan amat luas.

ARTIKEL YANG SAMA