Ke mana arah tuju sukan bola sepak negara?

Ke mana arah tuju sukan bola sepak negara?

TAHUN 2016 akan menyapa kita dalam beberapa hari lagi, namun apakah pasukan bola sepak negara kita (senior team) sudah bersiap-siaga? Yang pasti, ranking negara di tangga ke-185 dalam FIFA sekarang bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan.

Namun apa yang perlu dilakukan adalah untuk menjana pemikiran sebilangan masyarakat kita untuk bertindak lebih proaktif bagi memantapkan pasukan negara yang tidak mengikuti sebarang pertandingan besar setakat ini.

Kita sedia maklum yang Kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) adalah untuk skuad di bawah umur 21 tahun, sementara negara juga memiliki skuad di bawah umur 19 tahun dan skuad di bawah 16 tahun yang aktif dalam liga tempatan.

Mereka juga menyertai acara bola sepak antarabangsa mengikut kumpulan umur yang dianjurkan oleh ASEAN Football Federation (AFF) dan Asian Football Confederation (AFC).

Jadi apakah yang harus dilakukan oleh pasukan senior negara ini menjelang usia mereka mencecah 23 tahun ke atas dan kebanyakan produk ini adalah daripada skuad bawah 21 tahun?

Cadangan saya ada dua. Pertama, fokus penglibatan mereka dalam Kejohanan Liga Bolasepak Super ASEAN (ASEAN Super League) yang dijangka bermula Ogos ini. Kedua, pada masa yang sama sewaktu ada kelapangan seperti sewaktu tarikh-tarikh yang diiktiraf oleh FIFA untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa, NFABD harus membuat perundingan dengan pasukan-pasukan sebelah sini dan menjemput mereka untuk bermain di sini dalam perlawanan yang boleh diiktiraf sebagai A-class International Friendlies.

Sudah lama kita menunggu peluang untuk menyaksikan pasukan senior negara menentang Maldives atau berdepan dengan Nepal, apatah lagi mencuba nasib menentang Papua New Guinea di tempat sendiri. Di sini baru kita tahu di mana kita berdiri dalam persada bola sepak serantau dan seterusnya antarabangsa.

Untuk makluman semua, penyertaan pasukan senior negara lebih kepada anjuran FIFA seperti kelayakan Piala Dunia, kelayakan Piala Asia dan kelayakan Sukan Olimpik, yang Insya Allah, hanya akan dapat kita sertai seawal-awalnya tahun 2018 nanti, jadi masih banyak masa untuk kita membangun pasukan senior negara yang mantap lagi disegani.

Di samping itu, pasukan-pasukan berkenaan dapat mengenali lebih dekat lagi negara kita dan seterusnya membawa manfaat kepada sektor pelancongan kita secara tidak langsung.

Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA