Keadaan berjerebu naungi Singapura hari ini

Keadaan berjerebu naungi Singapura hari ini

SINGAPURA, 22 Sept (Bernama) – Keadaan berjerebu menaungi Singapura pada Selasa dengan indeks standard pencemaran (PSI) 24-jam mencecah paras tidak sihat walaupun hujan turun pada lewat tengah hari.

Agensi Alam Sekitar Nasional berkata angin utama diramal bertiup dari tenggara atau selatan.

Pada jam 5 petang ini, PSI 24-jam ialah 85-103, di tahap tinggi dalam lengkongan sederhana dan tahap rendah dalam lengkongan tidak sihat. PSI 3-jam ialah 161.

Bacaan PSI 24-jam melebihi 100 menunjukkan kualiti udara tidak sihat. Sementara itu, saluran tv tempatan Channel NewsAsia (CNA) menyebut pegawai Kementerian Alam Sekitar Indonesia sebagai berkata sebuah firma milik Singapura sedang disiasat kerana menyebabkan kebakaran hutan di Indonesia.

Asap tebal akibat kebakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan telah menyelubungi rantau ini dalam beberapa minggu lepas, meningkatkan pencemaran ke tahap tidak sihat.

Saluran televisyen itu menyebut pengarah undang-undang jenayah di kementerian itu Muhammad Yunus sebagai berkata lebih 200 syarikat perladangan dan perhutanan sedang disiasat.

“Bilangannya terus meningkat,” kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA