Keadaan cuaca menjadi cabaran persaingan

Keadaan cuaca menjadi cabaran persaingan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Keadaan cuaca dan persekitaran kini menjadi cabaran utama buat pasukan boling padang negara yang kini berjuang dalam Kejohanan Boling Padang Dunia 2016 yang sedang berlangsung di Christchurch, New Zealand.

Perkara tersebut dijelaskan oleh pemain perseorangan wanita negara, Dayangku Nurul Nabilah PHMSC (baju kuning) ketika dihubungi apabila ditanyakan mengenai perkembangan pasukan negara di sana.

Meskipun pasukan negara telah memperoleh kejayaan dalam dua perlawanan dalam Bahagian Lelaki dan Wanita kelmarin, namun kini pasukan negara mempunyai cabaran cuaca di mana paras suhu mencecah sehingga 6 darjah Celsius dan ditambah lagi dengan hujan di lokasi perlawanan.

Dayangku Nurul Nabilah menegaskan bahawa cuaca merupakan cabaran besarnya dan baginya siapa pun yang dilawan bukan hal besar memandangkan ketenangan merupakan perkara utama dalam memberi tumpuan dalam perlawanan.

Dayangku Nurul Nabilah perlu memenangi ketiga-tiga perlawanannya esok bagi memastikan kemaraan ke peringkat kalah mati sebelum mengharapkan keadaan cuaca esok akan lebih selesa berbanding hari ini.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian saya meskipun tewas tiga perlawanan, saya akan berusaha lebih giat esok,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA