Keadaan Yala terus tegang

Keadaan Yala terus tegang

YALA, 2 Nov – Keadaan di wilayah Yala terus tegang apabila sebutir lagi bom meletup di Daerah Bannang Sata di Yala semalam, menyebabkan seorang askar Thai cedera.

Serangan bom itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah pangkalan tentera pada malam kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan terhadap pangkalan tentera berkenaan.

Pagi semalam, sebuah kenderaan tentera yang meronda berhampiran kem itu menjadi sasaran serangan bom yang diletupkan dengan alat kawalan jauh.

Ia menyebabkan seorang askar cedera di kaki.

Keadaan yang terus tegang di kawasan Yala, Thailand ketika ini. – Reuters
Keadaan yang terus tegang di kawasan Yala, Thailand ketika ini. – Reuters

Kekacauan di Yala yang masuk hari keempat dipercayai didalangi kumpulan pemisah yang dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil (RKK).

Unit perisikan tentera percaya, ketua RKK yang dikenali sebagai Isamael Rayalong atau Ustaz Soh mengarahkan anggota kumpulan itu melancarkan serangan.

Maklumat perisikan juga percaya kumpulan itu bakal melancarkan serangan lebih besar dan bahaya apabila menyiapkan lima buah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.

Sumber perisikan memberitahu, kawalan di Yala kini dipertingkatkan dan pihak berkuasa bersedia dengan banyak lagi serangan.

Katanya, pihak berkuasa juga melancarkan operasi besar-besaran mencari lima kenderaan yang sarat dengan bahan letupan dan sedia untuk dilancarkan itu.

“Kami percaya bom kenderaan itu disembunyikan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan,” katanya.

Ujarnya, sebuah trak pikap empat pintu berwarna perak atau gangsa antara kenderaan yang digunakan untuk melancarkan serangan berkenaan.