Keadilan dalam tambang kerajaan

Keadilan dalam tambang kerajaan

SEJAK akhir–akhir ini terdapat perubahan pada dasar kerajaan untuk memansuhkan tambang ke London selepas 10 tahun dan tambang Haji dipendekkan dari 15 tahun perkhidmatan kepada 12 tahun perkhidmatan dan tambang belayar tiga tahun ditambah kepada empat tahun dan pekerja wanita boleh menuntut bagi pihak suami dan anak-anak yang sebelum ini tidak boleh.

Ini perubahan dasar yang baik kerana ia adil bagi pegawai dan kakitangan kerajaan lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, saya mendapat tahu bahawa imam boleh menuntut tambang Haji selepas 10 tahun berkhidmat.

Sehubungan itu, kenapakah ada perbezaan di antara imam dan kakitangan awam yang lain? Bolehkah pihak berkuasa yang berkenaan meneliti semula dasar ini kerana ia tidak adil sedangkan keadilan adalah penting dalam Islam.

Memandangkan tambang 10 tahun ke London dimansuhkan, kenapa tidak digantikan dengan tambang Haji diberikan selepas 10 tahun perkhidmatan. Ini akan membolehkan pegawai dan kakitangan kerajaan menunaikan Haji pada usia muda kerana Haji adalah salah satu ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal dan dengan pengurangan kuota dari Arab Saudi, tempoh menunggu akan lebih lama lagi.

Saya berharap pihak berkuasa yang berkenaan meneliti semula dasar ini kerana keadilan di antara pekerja kerajaan penting dalam Islam dan sebagaimana perubahan dasar yang dibuat sebelum ini supaya ada keadilan di antara pekerja lelaki dan perempuan dalam menuntut tambang empat tahun bagi suami dan anak-anak mereka. Haji Muda

ARTIKEL YANG SAMA