Keanggotaan EU Britain penting – NATO

Keanggotaan EU Britain penting – NATO

BRUSSELS, 23 Jun (Agensi) – Peranan Britain di Eropah amat penting dalam menentang keganasan dan penghijrahan haram secara besar-besaran, kata ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjelang pungutan suara Britain dalam keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) hari ini.

Dalam satu temuramah bersama akhbar The Guardian di sini, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, juga memberi amaran satu “Eropah yang berpecah” akan memburukkan “kestabilan dan ketidaktentuan” di rantau itu.

“Saya tidak memiliki undi. Ia terpulang kepada rakyat Britain membuat keputusan. Apa yang saya boleh katakan ialah yang penting buat NATO adalah United Kingdom (UK) yang kukuh dalam Eropah.

“Yang kukuh adalah baik untuk UK dan NATO kerana kita berdepan cabaran keselamatan tidak dijangka, dengan keganasan, ketidakstabilan dan persekitaran keselamatan sukar diramal, perpecahan dalam Eropah akan menambah kepada ketidakstabilan dan ketidaktentuan,” kata Stoltenberg.

Campur tangannya muncul pada hari akhir kempen sebelum undian hari ini. Ahli politik kanan di kedua-dua pihak pertempuran sengit pungutan suara itu bersilih ganti pada jam terakhir kempen.

Kebanyakan pegawai NATO bimbang dalam apa yang mereka lihat sebagai dua ancaman terbesar terhadap keselamatan Eropah, militan IS bersama pelampau Islam lain, serta Kremlin yang agresif, kedua-duanya mahu Eropah berpecah sebagai matlamat strategik utama.

“UK adalah penyedia kekuatan terbesar dalam kalangan sekutu NATO Eropah, justeru apa yang UK lakukan amat terkesan dan buat NATO ia satu kelebihan memiliki keanggotaan UK dalam EU terutama dari segi kerjasama transatlantik dan EU-NATO,” katanya.

Stoltenberg yang menjadi Setiausaha Agung NATO sejak 2014 berkata, Britain bertindak sebagai jambatan penting antara EU dan NATO serta mempromosi perkongsian maklumat terhadap ancaman pengganas.

Beliau menambah, kerjasama EU-NATO amat penting dalam membendung pergerakan besar-besaran pendatang menyeberangi Laut Aegean.