Keaslian video Omran dipertikai

Keaslian video Omran dipertikai

BEIJING, 22 Ogos – Badan penyiaran China mempertikaikan keaslian pita rakaman budak dari Syria, Omran yang telah disebarkan di seluruh dunia, mendakwanya telah dipalsukan sebagai sebahagian dari ‘propaganda perang’ Barat.

Pita rakaman itu menunjukkan seorang budak berusia empat tahun berlumuran darah dan debu selepas serangan udara di Aleppo minggu lalu, dengan Jabatan Negara AS menggelar anak tersebut ‘wajah sebenar’ peperangan Syria.

Beijing menyokong kerajaan Syria yang dipimpin oleh Bashar al-Assad dan rapat kepada Rusia, keduanya mungkin menjalankan serangan ke atas kawasan-kawasan Aleppo yang ditawan pemberontak.

Badan penyiaran CCTV, China mempersoalkan pita rakaman Omran dalam laporan hujung minggu, menunjukkan rakaman menyayat hati itu dengan tajuk ‘Video disyaki telah dipalsukan’.

“Pengkritik menggambarkan bahawa (pita rakaman itu) adalah sebahagian dari propaganda peperangan, bertujuan untuk mencipta alasan ‘kemanusiaan’ bagi negara-negara Barat untuk terlibat di Syria,” kata laporan latar suara Sabtu lalu.

“Para pekerja tidak melakukan usaha menyelamat pantas, bahkan sebaliknya menyediakan kamera,” tambahnya.

Dakwaan seumpama itu oleh media China adalah tidak diketahui. Agensi berita Xinhua sebelumnya menuduh kerajaan Tibet yang dalam buangan mengeluarkan video palsu.

Omran, adik dan ibu bapanya semuanya dikeluarkan dari serpihan tersebut berikutan pengeboman ke atas kejiranan Qaterji pada Rabu lalu di timur Aleppo yang ditawan pemberontak.

Dalam pita rakaman tersebut, Omran dengan keadaan senyap melihat ke atas dalam sebuah ambulan, sebelum mengangkat tangannya untuk menyentuh dahinya yang berlumuran darah, kemudian melihat tangannya dan mengesatnya ke atas kerusi yang berwarna jingga. – AFP