Kebaikan dan keburukan media sosial

Kebaikan dan keburukan media sosial

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kaitan penggunaan media sosial dengan nilai-nilai Islam dan cara hidup serta kebaikan dan keburukan menggunakannya telah dibincangkan oleh para pembentang dalam Sesi Pembentangan ketiga pada Simposium Majlis Ilmu 2016, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Lilly Suzana binti Haji Shamsu telah membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan biografi wanita dalam media sosial dan mengenai kuasa dan pengaruh media sosial.

Manakala itu, Pengarah Pusat Teknologi dan Multimedia UNISSA, Dr. Adam bin Haji Jait telah membincangkan mengenai perlunya kesedaran yang lebih kukuh dalam kalangan umat Islam bagi penggunaan ICT yang betul dan implikasi Internet serta media sosial dalam kehidupan rakyat, khususnya umat Islam.

Dalam pembentangannya, Dr. Lilly Suzana telah menekankan bahawa kemunculan media sosial di dunia siber merupakan satu anjakan paradigma dalam penyampaian pengetahuan melalui penyebaran maklumat berdasarkan kepada kapasiti tinggi dan terkini teknologi.

Keupayaan media sosial yang sentiasa berkembang dan dinamik serta mesra pengguna telah menjadikannya sebagai arena utama dalam penyaluran maklumat pada masa ini.

Dr. Adam ketika membentangkan kertas kerjanya.
Dr. Adam ketika membentangkan kertas kerjanya.

“Tidak dapat dinafikan atas dominasi ini segelintir orang menjadikannya sandaran utama dan rujukan serta menganggapnya berautoriti untuk dijadikan panduan yang autentik,” jelas Dr. Lilly.

Justeru, fenomena ledakan maklumat ini, menurut beliau, berpotensi untuk memberi impak dalam budaya pengajian ilmu. Di mana budaya menelaah kitab dengan sumber autentik dan berautoriti bagi mendapatkan maklumat sahih menjadi kurang popular kerana semuanya terhidang siap dalam dunia siber termasuk media sosial.

Pada kelazimannya sangat jarang maklumat yang disampaikan melalui media sosial disertakan sumber perolehan maklumat berkenaan. Bahkan pengirim asal pun jarang dapat ditelusuri.

Untuk itu, Dr Lilly Suzanna telah menawarkan beberapa cara, terutama bagi golongan wanita untuk memastikan bahawa maklumat, terutama yang berkaitan dengan wanita dalam Islam, yang dibaca di media sosial selamat untuk digunakan.

Ini penting kerana ada perkara-perkara mengenai wanita begitu banyak dikeluarkan dan disebarkan melalui media sosial, ujar beliau.