Kebajikan anak-anak yatim sentiasa diberi perhatian

Kebajikan anak-anak yatim sentiasa diberi perhatian

Oleh Salawati Haji Yahya, Hajah Saemah Kepli & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Kebajikan anak-anak yatim di negara ini sentiasa terpelihara terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini apabila banyak pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan bagi menceriakan mereka.

Hari ini, seramai 510 orang anak yatim dari mukim-mukim di Kampong Ayer telah menerima sumbangan peribadi Penghulu Mukim Peramu, Pengarah Dato Paduka Haji Ismit bin Pengarah Mukim Haji Naim.

Majlis yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada seramai 113 orang warga emas di Mukim Peramu.

Turut hadir menyerahkan sumbangan itu ialah Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof dan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abd Karim.

Dengan adanya sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan anak-anak yatim dan warga emas bagi persediaan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.
Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.
Sebahagian anak-anak yatim yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Sebahagian anak-anak yatim yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Semasa ditemui pada majlis itu, Pengarah Dato Paduka Haji Ismit menjelaskan, sumbangan seumpama ini diadakan setiap tahun dalam usaha memberi keceriaan kepada warga emas dan anak-anak yatim di mukim berkenaan untuk sama-sama menjalani bulan Ramadan dan Syawal seperti keluarga yang lain.

Beberapa orang penerima sumbangan yang ditemui pula rata-ratanya melahirkan perasaan syukur kerana masih ada pihak yang mengambil perhatian terhadap mereka.

Dayang Saayah binti Esin, yang merupakan ibu kepada tiga orang anak, dari Kampung Tamoi Tengah melahirkan perasaan syukur atas sumbangan yang diterima di majlis ini.

Menurutnya, sumbangan yang diterima itu akan digunakan sebahagianya untuk keperluan anak-anak bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri manakala sebahagianya lagi akan disimpan untuk kegunaan pada masa akan datang.

Manakala itu, dalam menjaga kesejahteraan murid-murid, pihak sekolah turut tidak ketinggalan mengambil berkat bulan yang suci ini untuk menghulurkan derma kepada anak-anak yatim di sekolah masing-masing seperti yang dilakukan oleh Sekolah St James di Kuala Belait dan Sekolah St Margaret di Seria, hari ini.

Di Sekolah St James, seramai lapan orang anak yatim di sekolah berkenaan telah menerima sumbangan daripada pihak sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah St James, Haji Muhd Masa Masdi bin Mohd Sai’dun.

Haji Muhd Masa Masdi (kiri sekali) bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan dan ibu mereka serta kakitangan di Sekolah St James.
Haji Muhd Masa Masdi (kiri sekali) bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan dan ibu mereka serta kakitangan di Sekolah St James.
Sumbangan anak yatim di St Margaret yang disampaikan oleh Suresh Babu, Koh Hong Puah dan Dayang Hasnah.
Sumbangan anak yatim di St Margaret yang disampaikan oleh Suresh Babu, Koh Hong Puah dan Dayang Hasnah.

Sementara itu, di Sekolah St Margaret pula, seramai 18 orang menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengetuanya, Koh Hong Puah.

Turut menyampaikan sumbangan daripada orang yang tidak mahu disebutkan, ialah Timbalan Pengetua sekolah tersebut Suresh Babu dengan disaksikan oleh Penyelia Bahagian Rendah, Dayang Hasnah binti Haji Awi.

Pengerusi majlis di St Margaret, Awang Jamal bin Gantar dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar memberitahu bahawa sumbangan berkenaan dikumpulkan daripada semua pelajar dan ibu bapa serta guru-guru dan kakitangan sekolah.

Majlis-majlis penyampaian sumbangan tersebut merupakan antara aktiviti keagamaan yang dilaksanakan pada bulan Ramadan dan juga sebagai aktiviti tahunan yang antara lain bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan anak-anak yatim di sekolah-sekolah berkenaan.

Di samping itu, ia juga merupakan aktiviti berkebajikan terutama sekali pada bulan Ramadan yang mubarak ini, bagi mengharapkan ganjaran pahala dan keberkatan serta untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga sekolah dan para pelajar dan keluarga mereka.

Dalam pada itu, selaras dengan inisiatif amal Kelab Wanita Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (IWCB) di bulan suci dan diberkati ini, kelab tersebut akan menganjurkan majlis sumbangan derma dan berbuka puasa untuk 200 anak yatim dari Mukim Gadong A dan B pada 17 Jun ini di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong.

Acara akan diisikan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden IWCB, Ungku Datin Hajah Fanzah binti Haji Osman, doa tahlil diikuti penyampaian sumbangan wang tunai dan beg hadiah kepada setiap kanak-kanak.

Sumbangan akan disampaikan oleh Ungku Datin Hajah Fanzah, Naib Presiden Kehormat, Dyna Tan, ahli-ahli kehormat yang terdiri daripada pasangan Kor Diplomatik, ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli kelab.

Sumbangan wang tunai dan beg hadiah adalah daripada dana yang diterima oleh kelab hasil acara pengumpulan dana mereka dan Pesta Makanan Antarabangsa kebelakangan ini. Selain itu, beberapa orang ahli IWCB juga telah bermurah hati memberikan sumbangan peribadi mereka untuk acara tersebut.

Matlamat IWCB adalah untuk membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim pada bulan Ramadan ini.

ARTIKEL YANG SAMA