Kebajikan mualaf terus dipeduli

Kebajikan mualaf terus dipeduli

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Atas rasa pemedulian serta menjamin kehidupan golongan mualaf yang lebih baik, Pusat Dakwah Islamiah telah menghulurkan sumbangan berupa sebuah enjin penjana kuasa kepada Dayang Siti Rahmah binti Abdullah Oyut di kediamannya di Kampung Sungai Mau, Bukit Sawat, kelmarin.

Sumbangan tersebut juga disampaikan bagi membantu mempertingkatkan kehidupan dan keselesaan hidup golongan mualaf supaya mereka dapat menjalani hidup dan menyempurnakan ibadah dengan selesa.

Di samping itu, sumbangan ini juga diungkayahkan sebagai salah satu metode dakwah kepada bukan Muslim dan memperlihatkan pemedulian Pusat Dakwah Islamiah terhadap golongan mualaf.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian bantuan itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abd Aziz bin Haji Abd Kahar.

Awang Abd Aziz menyampaikan sumbangan kepada Dayang Siti Rahmah di kediamannya kelmarin.
Awang Abd Aziz menyampaikan sumbangan kepada Dayang Siti Rahmah di kediamannya kelmarin.

Sejak tahun 2014 hingga awal bulan Ogos tahun ini, Pusat Dakwah Islamiah telah memberikan sebanyak 23 unit enjin penjana kuasa kepada para mualaf di seluruh negara, antaranya dua unit di Daerah Brunei Muara, 15 unit di Daerah Tutong, empat unit di Daerah Belait dan dua unit di Daerah Temburong.

Sebelum ini, penyerahan empat unit enjin penjana kuasa telah diserahkan kepada mualaf di Daerah Tutong pada 6 Ogos lalu oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

ARTIKEL YANG SAMA