Kebajikan pesakit dapat pemedulian

Kebajikan pesakit dapat pemedulian

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Kementerian Kesihatan turut menyemarakkan bulan Ramadan ini dengan aktiviti berkebajikan dengan mengadakan aktiviti lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan untuk menyampaikan sumbangan derma dan barangan keperluan asas di keempat-empat daerah, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, aktiviti lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti kebajikan tahunan yang diungkayahkan oleh kementerian melalui Bahagian Kebajikan Perubatan semasa bulan Ramadan.

Pada tahun ini, seramai 14 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Bahagian Kebajikan Perubatan telah dikenal pasti bagi tujuan lawatan berkenaan.

Di Daerah Brunei dan Muara, rombongan lawatan Kementerian Kesihatan telah diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, sementara itu, di Daerah Belait, rombongan diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

Manakala itu, di Daerah Temburong, rombongan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Hazri bin Haji Kifle, dan di Daerah Tutong pula, rombongan lawatan telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin.

Salah seorang wakil Kementerian Kesihatan membawa hamper untuk diberikan kepada pesakit.
Salah seorang wakil Kementerian Kesihatan membawa hamper untuk diberikan kepada pesakit.
Kakitangan Kementerian Kesihatan semasa menyampaikan sumbangan di rumah pesakit.
Kakitangan Kementerian Kesihatan semasa menyampaikan sumbangan di rumah pesakit.

Turut serta dalam lawatan ini ialah para pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Brunei, Persatuan Saintis Makmal Perubatan Brunei Darussalam (BAMLS), Persatuan Kesihatan Bersekutu dan Persatuan Jururawat (PENJURU).

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya menyatakan komitmen mereka untuk sentiasa memberikan perhatian dan bantuan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan bukan sahaja dari segi rawatan di hospital atau klinik-klinik kesihatan tetapi juga dalam memastikan kesejahteraan mereka di rumah.

Kenyataan itu berkata, Bahagian Kebajikan Perubatan memainkan peranan penting untuk membantu pesakit kurang berkemampuan dan mempunyai kehidupan seharian yang tidak kondusif bagi rawatan mereka.

Di samping itu, bahagian tersebut juga membuat penilaian dan pemantauan yang teliti secara berterusan bukan saja dari segi sosioekonomi para pesakit tetapi lebih-lebih lagi dari segi kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Oleh itu, keprihatinan serta sumbangan yang dihulurkan ini diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA