Kebajikan rakyat diberi tumpuan

Kebajikan rakyat diberi tumpuan

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini, akan terus memberikan tumpuan kepada memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat di negara ini sentiasa terpelihara, sebagai asas pembangunan masyarakat yang inklusif.

Ini termasuk menyediakan kemudahan dan keperluan asas, seperti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Di samping itu, keperluan-keperluan asas lain seperti bekalan elektrik, air, perumahan dan lain-lain juga akan terus disediakan. Hasil daripada perancangan dan langkah-langkah berterusan kerajaan dalam menitikberatkan hal ehwal dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini, Laporan Pembangunan Manusia 2015 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah menempatkan negara ini di tangga ke-31 dalam kategori ‘Very High Human Development’, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (kedua) semasa menjelaskan fokus keempat bagi Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2016/2017.

Walau bagaimanapun, ujar Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, realitinya dengan jumlah penduduk negara ini yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, kos pemberian kemudahan dan keperluan asas tersebut sudah setentunya juga akan meningkat setiap tahun. “Keadaan ini sedikit sebanyak merupakan satu cabaran ke atas pengurusan dan kemampuan kewangan kerajaan dalam keadaan ekonomi yang paling mencabar pada masa ini.”

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, keupayaan kerajaan untuk terus menghulurkan kemudahan dan keperluan-keperluan asas, seperti sekarang, mungkin tidak akan mapan dalam jangka masa sederhana dan panjang, jika langkah-langkah reformasi bersesuaian tidak diambil.

Oleh itu, adalah penting usaha-usaha diambil di semua peringkat untuk menilai semula keperluan dan keberkesanan bantuan-bantuan atau subsidi-subsidi yang dihulurkan agar pemberiannya akan lebih ditumpukan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan dengan kadar bantuan yang bersesuaian.

Menurut beliau, bagi Tahun Kewangan 2016/2017, selaras dengan keutamaan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini, peruntukan-peruntukan tertentu akan terus disediakan. Bagi perkhidmatan kesihatan, peruntukan-peruntukan yang akan disediakan termasuklah bagi pembelian ubat-ubatan sebanyak $47.6 juta; $26.5 juta bagi perbekalan dan perkhidmatan perubatan; $8.3 juta bagi membiayai penghantaran dan rawatan pesakit keluar negara; sebanyak $30 juta terus disediakan bagi perkhidmatan rawatan sakit jantung di JPMC, Pusat Kanser Brunei dan Brunei Neuroscience, Stroke & Rehabilitation Centre; dan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN), sejumlah $21.0 juta dengan Harga Rancangan $210.5 juta untuk keperluan sektor perubatan dan kesihatan.

Manakala itu, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna dan orang awam, kerajaan akan terus menyediakan peruntukan dengan penekanan kepada membiayai kerja-kerja pemeliharaan dan membaik pulih aset-aset kerajaan, yang termasuk sejumlah $56.2 juta bagi kerja-kerja pemeliharaan aset serta pemeliharaan kemudahan awam dan infrastruktur di Jabatan Kerja Raya; $3.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan dan membaik pulih bangunan, kawasan dan perumahan termasuk rumah-rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati; $5 juta bagi kerja-kerja pembaikan/menaik taraf sistem bekalan air; $4 juta bagi kerja-kerja pencegahan banjir, termasuk kerja-kerja pembaikan/menaik taraf pembetungan dan saliran; dan $2.7 juta bagi membiayai perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dengan kebersihan.

Bagi peruntukan perumahan negara pula akan disediakan sebanyak $53.3 juta keseluruhannya dengan Harga Rancangan $756 juta, bagi membiayai beberapa projek di bawah Skim Perpindahan dan Perumahan Negara; dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati di kesemua daerah.

Sementara itu, bagi meningkatkan keselamatan awam, peruntukan sejumlah $4.5 juta secara keseluruhannya disediakan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi menangani bencana alam dan wabak penyakit berjangkit; sejumlah $3.6 juta dengan Harga Rancangan $11.9 juta untuk meningkatkan pematuhan kepada Piawaian International Civil Aviation Organisation (ICAO); dan di bawah Fokus Perbelanjaan, Harga Rancangan sebanyak $15 juta disediakan bagi Keselamatan Awam untuk membiayai Projek Penyelarasan Sistem Pengesan (Sistem Pengawalan Video Induk) dan Projek Pangkalan Data DNA Kebangsaan.

Peruntukan juga disediakan bagi menaik taraf sistem bekalan tenaga elektrik negara, termasuklah $5 juta dengan harga Rancangan $131.5 juta bagi ‘Maintenance of Gas Turbine Generator’; dan $86.7 juta dengan Harga Rancangan $765.3 juta lagi disediakan secara keseluruhannya di bawah Sektor Elektrik, di bawah RKN.

ARTIKEL YANG SAMA