Kebajikan saudara baru mendapat perhatian

Kebajikan saudara baru mendapat perhatian

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

 

pg01_160315_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kebajikan saudara-saudara baru yang kurang berkemampuan atau dikategorikan sebagai miskin, turut mendapat perhatian pada sesi petang hari ketujuh Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seti Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, mereka akan diberikan bantuan dengan bantuan dana yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam Brunei melalui wang zakat.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa perancangan perumahan yang dikelolakan oleh Pusat Dakwah Islamiah di Daerah Temburong untuk perumahan saudara baru yang miskin atau kurang berkemampuan, melalui perbelanjaan wang zakat.

Setakat ini, projek bantuan itu sedang berjalan, di mana ada tiga buah rumah sudah siap dibangunkan dan sebuah lagi sedang giat dijalankan.

Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui jabatan-jabatan di bawahnya, tambah beliau, juga telah membangun sebuah berek untuk penempatan saudara-saudara baru yang kurang berkemampuan di mana beberapa buah keluarga saudara baru sudah ditempatkan.

Yang Berhormat Pehin, juga menekankan bahawa saudara-saudara baru yang memeluk agama Islam tidak dihalang dari segi syarak untuk tinggal bersama ahli keluarga mereka yang bukan Islam, bahkan ia juga digalakkan, kecuali jika ada permasalahan atau timbul perselisihan kekeluargaan di antara keluarga, di mana KHEU mempertimbangkan dan menyediakan rumah-rumah kediaman sementara.

Tetapi untuk memisahkan mereka daripada keluarga, bukanlah tujuan KHEU dalam hal berkenaan, tambahnya lagi.