Kebakaran belukar di Australia, 15 rumah ranap

Kebakaran belukar di Australia, 15 rumah ranap

MELBOURNE, 21 Dis (AFP) – Sehingga 15 buah rumah musnah akibat kebakaran belukar berhampiran Melbourne tetapi keadaan cuaca yang agak sejuk hari ini membantu anggota penyelamat memadamkan kebakaran itu, menurut pegawai-pegawai.

Sejumlah kebakaran belukar berlaku sepanjang hujung minggu, yang diburukkan lagi oleh angin kencang dan suhu panas, dan menyebabkan kebakaran gagal dikawal. Salah satu kebakaran di Scotsburn, 90 kilometer di barat Melbourne, mengejutkan anggota-anggota krew dari segi kelajuannya mengganas, dengan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan hari ini ia meranapkan sebanyak 12 buah rumah.

Satu lagi kebakaran belukar di Barnawartha, juga di negeri Victoria, menjilat dan meranapkan kira-kira 9,000 hektar, dengan memusnahkan tiga harta benda.

Pihak Berkuasa Bomba Daerah (CFA) berkata kebakaran di Scotsburn kini sudah terkawal sementara kebakaran di sekitar Barnawartha mungkin dapat dikekang menjelang akhir hari ini.

Salah seorang anggota pemadam berhempas pulas memadamkan kebakaran belukar berhampiran Wandin, di timur Melbourne. Gambar dirakam pada 20 Disember 2015. – Reuters
Salah seorang anggota pemadam berhempas pulas memadamkan kebakaran belukar berhampiran Wandin, di timur Melbourne. Gambar dirakam pada 20 Disember 2015. – Reuters

“Apa yang dapat membantu kami ialah keadaan cuaca yang agak stabil sepanjang minggu ini,” kata pegawai CFA James Todd.

Kebakaran belukar adalah perkara biasa ketika bulan lebih panas di Australia. Kebakaran belukar sejak beberapa tahun lepas, memusnahkan bahagian selatan Victoria pada 2009, meranapkan beribu-ribu buah rumah serta mengorbankan 173 orang.

Tujuh orang sudah meninggal dunia setakat ini tahun ini akibat kebakaran belukar di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA