Kebakaran besar di Seria

Kebakaran besar di Seria

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 25 Sept – Satu kebakaran besar berlaku di Pekan Seria memusnahkan pasar raya terkenal, Gedung Perniagaan Milimewah, sebuah kedai peralatan telefon dan sebuah kedai emas.

Kebakaran dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.20 petang, dipercayai bermula daripada litar pintas.

Balai Bomba Seria menerima panggilan kecemasan enam minit kemudian dan segera mengejarkan anggotanya ke tempat kejadian.

Lapan jentera bomba bersama lebih 50 orang anggota Bomba dan Penyelamat dari Kuala Belait, Seria dan SPARK telah dikejarkan ke tempat kejadian selain turut mendapat bantuan daripada Bomba BSP Seria.

Kebakaran yang pada mulanya terjadi akibat litar pintas pada kabel elektrik telah dipadamkan tetapi api kemudian merebak di bahagian atas dan menjadi marak dengan besarnya kerana terdapat banyak barangan yang mudah terbakar di lantai atas pasar raya terbabit.

Api kelihatan marak di Gedung Perniagaan Milimewah ketika bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Api kelihatan marak di Gedung Perniagaan Milimewah ketika bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Bomba menggunakan kren untuk memadam kebakaran dari atas bangunan. Turut kedengaran adalah bunyi letupan dari dalam bangunan yang terbakar.
Bomba menggunakan kren untuk memadam kebakaran dari atas bangunan. Turut kedengaran adalah bunyi letupan dari dalam bangunan yang terbakar.

Api menjadi marak sehingga meranapkan bahagian atas dan bawah unit pasar raya itu, selain turut kedengaran beberapa bunyi letupan, dari dalam bangunan terbabit.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal api daripada merebak sebelum berjaya memadamkan kebakaran dalam masa enam jam.

Kejadian itu telah menarik perhatian ramai dan segera tersebar melalui media-media sosial menyebabkan Pekan Seria telah menjadi tumpuan orang ramai untuk menyaksikan secara lebih dekat kejadian kebakaran, lebih-lebih lagi pasar raya tersebut sudah tidak asing lagi kepada kalangan penduduk di sini.

Orang ramai tidak berganjak dari kawasan kejadian untuk menyaksikan secara lebih dekat kebakaran itu.
Orang ramai tidak berganjak dari kawasan kejadian untuk menyaksikan secara lebih dekat kebakaran itu.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dalam masa dua jam.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dalam masa dua jam.

Beberapa orang yang berada di tempat kejadian memberitahu pada mulanya mereka terdengar satu letupan, tiba-tiba dikejutkan apabila pekerja-pekerja di pasar raya itu bergegas keluar meninggalkan premis terbabit.

Ramai pekerja pasar raya itu tidak sempat menyelamatkan barangan milik peribadi mereka seperti beg tangan yang tersimpan dompet dan juga kunci kereta, selain ramai dalam kalangan mereka yang merasa hiba kerana khuatir akan kehilangan pekerjaan akibat kejadian itu.

Pihak bomba ketika dihubungi berkata, mereka masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.