Kebakaran di acara ‘Buatan India’

Kebakaran di acara ‘Buatan India’

MUMBAI, 15 Feb – Satu kebakaran besar menjilat pentas di sebuah persembahan kebudayaan di Mumbai pada Ahad (14 Feb), yang merupakan sebahagian daripada acara minggu ‘Buatan India’ pemerintah India.

Kebakaran itu berlaku selepas bintang Bollywood, Amitabh Bachchan, membaca puisi di majlis tersebut, yang diadakan di pantai Chowpatty yang popular di selatan ibu negara komersial India ini.

Beribu-ribu orang, termasuk Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis, terpaksa dipindahkan selepas kebakaran bermula sekitar 8 malam.

Tiada laporan mengenai kecederaan.

Fadnavis berkata “tempat majlis dikosongkan segera” dan “siasatan menyeluruh mengenai kes kebakaran itu akan dijalankan bagi menentukan puncanya”.

Api kelihatan menjulang di acara ‘Buatan India’ di Mumbai, semalam. Kebakaran besar berlaku di pentas semasa acara kebudayaan itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk barangan ‘Buatan India.’ –AFP
Api kelihatan menjulang di acara ‘Buatan India’ di Mumbai, semalam. Kebakaran besar berlaku di pentas semasa acara kebudayaan itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk barangan ‘Buatan India.’ –AFP

Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai Dhananjay Kulkarni juga berkata tiada laporan mengenai sembarang kecederaan.

Acara itu meraikan budaya Maharashtra sebagai sebahagian daripada minggu ‘Buatan India’, yang bertujuan menarik pelaburan ke negara itu dan sedang berjalan di bandar barat Mumbai dari 13 hingga 18 Februari.

“Pada mulanya kami menyangka ia (api) sebahagian daripada persembahan, kemudian kita sedar ia bukan sebahagian daripada rancangan itu,” kata Prasoon Joshi, seorang penulis lirik India yang berada di majlis itu, kepada saluran berita NDTV. – AFP