Kebakaran dipercayai berpunca daripada pemetik api

Kebakaran dipercayai berpunca daripada pemetik api

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Kebakaran yang meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun di sebuah rumah di STKRJ Kampung Perpindahan Tungku, Gadong, petang kelmarin, dipercayai berpunca daripada kanak-kanak bermain pemetik api.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini, dalam kejadian itu, api besar telah membakar tingkat atas rumah berkenaan di mana mangsa, Ahmad Nurzaki Iman bin Ahmad Juzlan terperangkap dalam bilik.

Kejadian itu juga telah menyebabkan kerugian kira-kira $50,000.

Rumah berkenaan adalah milik Dayangku Latifah binti Pengiran Haji Mahmud yang dihuni bersama enam orang ahli keluarga.

Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2:58 petang dan segera mengerahkan 23 orang anggota bomba dan tiga buah jentera dari Balai Bomba Rimba, Balai Bomba Berakas dan Balai Bomba Bandar Seri Begawan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati api besar membakar tingkat atas rumah jenis dua tingkat dengan seorang kanak-kanak terperangkap di dalamnya.

Api berjaya dikawal dalam masa lapan minit dan mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak paramedik.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh bahagian pediatrik di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.