Kebakaran gara-gara bara api penyalai

Kebakaran gara-gara bara api penyalai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Sebuah gerai di Medan Selera Taman Permainan Jerudong hampir musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di bahagian dapur gerai berkenaan, petang tadi.

Anggota Bomba dan Penyelamat cawangan Balai Bomba Jerudong telah dikerahkan untuk memadam kebakaran dapur di gerai No 19 milik Haji Abdul Rahman bin Haji Osman yang dilaporkan terbakar pada pukul 3:35 petang.

Dua buah jentera bomba dan seramai 11 orang anggota bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan dengan diketuai Penolong Pegawai Balai, Awang Mat Jani bin Haji Sapar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sejurus tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sudah marak membakar sebahagian dapur gerai berkenaan, bagaimanapun, api dapat dikawal dalam masa minit.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada bara-bara api bekas penyalaian ayam yang tidak dipadamkan dengan sepenuhnya.

Anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.