Kebakaran hutan, belukar penyebab jerebu di Sabah

Kebakaran hutan, belukar penyebab jerebu di Sabah

KOTA KINABALU, 31 Mac (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Sabah menerima sebanyak 43 kes kebakaran belukar dan hutan semalam, sehingga menyebabkan jerebu melanda beberapa kawasan di negari ini.

Pengarahnya Nordin Pauzi berkata kawasan yang mengalami kebakaran adalah Kota Kinabalu membabitkan tiga kawasan, Papar (lapan), Penampang (enam), Jalan Lintas (empat), Tuaran (lima), Kota Belud (tiga), Kudat dan Beaufort masing-msaing dua kawasan.

“Kawasan lain yang mengalami kebakaran ialah empat kawasan di Tenom, Keningau tiga kawasan, dan masing-masing satu kawasan di Kuala Penyu, Sandakan dan Kinabatangan.

“Kebakaran terbesar yang dilaporkan semalam adalah di Bukit Cinta Mata Amboi 2, Tenom yang melibatkan kira-kira 40 ekar (kira-kira 16 hektar) kebakaran hutan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bandaraya Kota Kinabalu mula dilanda jerebu kelmarin berikutan kemarau panjang melanda negeri itu sejak awal tahun. – Bernama
Bandaraya Kota Kinabalu mula dilanda jerebu kelmarin berikutan kemarau panjang melanda negeri itu sejak awal tahun. – Bernama

Tinjauan Bernama mendapati kebakaran hutan dan belukar itu menyebabkan beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Tuaran, Keningau dan Kuala Penyu dilanda jerebu sejak semalam.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kota Kinabalu pada tengah hari ini berada pada tahap sederhana iaitu 56.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya) dan orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sunif Naiman berkata penerbangan keluar masuk di KKIA adalah lancar walaupun keadaan agak berjerebu.