Kebakaran hutan berjaya dikawal

Kebakaran hutan berjaya dikawal

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 13 Mac – Kebakaran hutan seluas dua hektar yang mengakibatkan asap tebal menyelubungi kawasan Lebuh Raya Lumut Bypass KM30 sejak jam 8 pagi tadi, telah berjaya dikawal oleh anggota Jabatan Penyelamat Dan Bomba (JBP) cawangan Daerah Belait.

Operasi itu turut menyebabkan sebahagian lebuh raya di kawasan yang terjejas ditutup selama tujuh jam dan hanya dibuka semula jam 3 petang tadi.

Jalan yang ditutup bagi operasi tersebut adalah dari pusingan U Lumut Bypass ke Sekolah Politeknik Lumut hingga ke pusingan U Perumahan RPN Lumut ke Kuala Belait.

Superintenden Kanan Pegawai Pemerintah cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Awang Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yusof, dalam temu bual melalui telefon berkata, kebakaran hutan tersebut menjejaskan kawasan berhampiran Brunei LNG yang mempunyai kepentingan aset di situ.

Menurut beliau lagi, seramai 25 orang anggota bomba bersama dua buah jentera berat bomba dikerahkan bagi membantu dalam operasi tersebut.

Sebahagian jalan raya terpaksa ditutup berikutan asap tebal yang menyelubungi sebahagian jalan raya.
Sebahagian jalan raya terpaksa ditutup berikutan asap tebal yang menyelubungi sebahagian jalan raya.

Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan dengan Media Permata mengenai peratusan asap tebal dari tanah gambut di sektor-sektor kawasan hutan terjejas akibat kebakaran yang telah berlaku sepanjang awal tahun ini.

“Sektor Satu di Sungai Bera mencatatkan sifar kosong sementara Sektor Dua di Badas dilaporkan mempunyai kepulan asap kecil yang mula nampak sejak kelmarin, Sektor Tiga di KM16 masih mempunyai sekitar 10 peratus asap dan kelmarin mendapati asap tebal di KM15 namun telah berjaya dikawal dan pada hari ini masih dalam usaha untuk memadam kepulan asap di kawasan sana.

“Sektor Empat di KM13-14 dan KM8 tidak mempunyai kepulan asap yang timbul, di mana kakitangan bomba dari Balai Bomba Kuala Belait berpindah ke Sungai Dua di Sungai Teraban untuk memadam api besar yang dilaporkan di kawasan tersebut, pada masa ini kepulan asap di jalan raya sana telah berjaya dikawal kecuali yang berada di tengah-tengah hutan,” jelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA