Kebakaran hutan berleluasa

Kebakaran hutan berleluasa

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Mac – Daerah Tutong turut tidak terkecuali mengalami kebakaran hutan semasa musim kering yang melanda negara pada masa ini, di mana anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Tutong sentiasa bersiap sedia dan memantau tempat-tempat yang mudah terbakar.

Menurut kenyataan yang diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Tutong, pada masa ini anggota bomba masih lagi beroperasi di Lebuh Raya Jerudong-Tutong bagi memadam kebakaran yang berlaku berdekatan dengan jalan raya sahaja.

Kebanyakan kebakaran yang berlaku di daerah ini berlaku di kawasan hutan dan boleh melarat ke beberapa kawasan hutan lain yang berdekatan, jelasnya.

Kebakaran yang berlaku di kawasan hutan di sekitar Kampung Keriam dan Kampung Penanjong.
Kebakaran yang berlaku di kawasan hutan di sekitar Kampung Keriam dan Kampung Penanjong.

Selain itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat cawangan Daerah Tutong juga sentiasa memantau mana-mana kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan dan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan kebakaran dan memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi semasa musim panas dan kering ini.

Para pengguna jalan raya yang melalui kawasan Lebuh Raya Jerudong-Tutong juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengurangkan had laju kenderaan dan menyalakan lampu jika berlakunya asap tebal yang menyelubungi lebuh raya di kawasan berkenaan.

Jika berlakunya kebakaran hutan yang boleh merebak di kawasan mereka dan boleh menyebabkan bahaya, orang ramai perlulah menghubungi segera Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 995.