Kebakaran hutan dan semak serius di Sarawak

Kebakaran hutan dan semak serius di Sarawak

KUCHING, 7 Julai (Bernama) – Kebakaran semak dan hutan pada musim kemarau sekarang sudah berada di tahap teruk, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Nor Hisham Mohamad.

“Semalam sahaja ada 41 kes kebakaran semak dan hutan direkodkan di seluruh Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru pekebun-pekebun dan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.

Katanya, dengan ketiadaan hujan turut sejak lebih seminggu lalu risiko kebakaran adalah lebih tinggi.

“Semalam ketika saya melakukan tinjauan ke kawasan Gedong, Simunjan, Asajaya dan Samarahan, saya melihat masih berlaku aktiviti pembakaran terbuka,” tambah beliau.

Mengenai kebakaran kawasan hutan seluas 200 ekar di Kuala Baram, Miri beliau berkata, 80 peratus sudah pun dipadamkan dan seramai 104 anggota bomba masih bertugas dan memantau kawasan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Nor Hisham satu lagi kawasan semak berhampiran Rumah Anak Yatim Hamidah di Miri terbakar pagi tadi, tetapi keadaan berjaya dikawal.

Manakala kebakaran semak berhampiran gedung membeli-belah Summer di Kota Samarahan sudah pun dipadamkan sepenuhnya.