Kebakaran hutan di Keningau belum dapat dikawal sepenuhnya

Kebakaran hutan di Keningau belum dapat dikawal sepenuhnya

PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) – Kebakaran hutan melibatkan keluasan 500 hektar di daerah Keningau, Sabah masih belum dapat dikawal sepenuhnya, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata ini kerana hutan itu yang terletak berhampiran Mini Estet Sejahtera (Mesej) Bunang merupakan kawasan yang sukar dilalui pihak Bomba dan Penyelamat dan ini menyukarkan operasi pemadaman.

“Kebakaran ini masih belum dapat dikawal sepenuhnya akibat kesukaran jentera bomba memasuki kawasan terbabit selain ketiadaan sumber air bagi pemadaman.

“Justeru, pasukan Bomba Sabah telah mendapatkan khidmat bantuan Unit Udara bagi membantu operasi pemadaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata sebanyak 1,164 panggilan kes kecemasan melibatkan kebakaran terbuka bagi negeri Sabah direkodkan daripada 17 Jan hingga 13 Mac tahun ini. Abdul Rahman berkata sejumlah 52.05 peratus panggilan direkodkan tahun ini berbanding 47.94 peratus pada tahun 2015, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.11 peratus.

Menurut statistik yang diperoleh sehingga kini, Abdul Rahman berkata kebakaran kawasan hutan belukar mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 550 kes, diikuti kebakaran hutan (286 kes), kebun kecil (23 kes), tapak pelupusan sampah (47 kes) dan ladang (13 kes).

“Daerah yang paling teruk terjejas adalah Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Keningau dan Tuaran.

“Statistik juga menunjukkan peningkatan luar biasa secara harian telah dicatatkan pada 12 Mac lepas di mana sebanyak 60 kes diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah,” katanya. Sehubungan itu, Abdul Rahman menasihatkan orang ramai terutama di kawasan pedalaman agar sentiasa peka dan memberi kerjasama kepada pihak bomba agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa pengawasan lebih-lebih lagi di kawasan yang mudah terbakar seperti hutan belukar.