Kebakaran hutan di Kuala Baram serius

Kebakaran hutan di Kuala Baram serius

MIRI, 3 Julai (Bernama) – Kebakaran hutan yang merebak dengan cepat di Kuala Baram, berhampiran sempadan Miri dan Brunei, pada tengah hari ini menyebabkan laluan di kawasan itu tidak dapat dilalui kerana asap tebal.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kong berkata, saiz sebenar keluasan hutan belukar yang terbakar itu masih belum dapat dipastikan.

Laluan jalan Baram yang baharu itu popular dalam kalangan pengunjung dari Brunei, Limbang dan Sabah yang melaluinya selepas menyelesaikan urusan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin CIQ) Sungai Tujuh.

“Hutan itu terlalu kering dan angin menyebabkan kebakaran cepat merebak, sehingga jarak penglihatan agak terhad,” katanya. Law berkata, laluan lencongan disediakan untuk pengguna jalan raya iaitu jalan Baram lama sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Ketua CIQ Sungai Tujuh Yahya Suhaili berkata, keadaan asap tebal tidak mengganggu operasi imigresen di CIQ itu.

“Operasi berjalan seperti biasa kerana kebakaran berlaku agak jauh dari lokasi CIQ,” katanya.

Gambar dari Whatsapp menunjukkan keadaan kebakaran yang berlaku berhampiran sempadan Miri-Brunei kelmarin.
Gambar dari Whatsapp menunjukkan keadaan kebakaran yang berlaku berhampiran sempadan Miri-Brunei kelmarin.

Malah beliau berkata, jumlah pengunjung ke bandar raya Miri dijangka bertambah mulai hari ini dengan anggaran 3,000 orang sehari terutama sekali dari Brunei kerana cuti umum Nuzul Al-Quran di negara tersebut.

“Sewaktu perjalanan ke CIQ tadi, semua kenderaan didapati memasang lampu kecemasan sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd Ismail Ibrahim,38, mendakwa jarak penglihatan terlalu terhad sehingga mustahil untuk melalui jalan tersebut.