Kebakaran hutan dipantau

Kebakaran hutan dipantau

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 26 Feb – Usaha giat dalam mengawal kebakaran hutan di sepanjang Lebuh Raya Mumong Bypass kini dipertingkatkan lagi dengan menambah jumlah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Belait daripada 25 kepada 85 orang.

Anggota berkenaan dibahagikan kepada empat sektor tertentu, beroperasi selama 24 jam dengan pertukaran syif berganti-ganti bagi memantau dan menangani sebarang kes-kes kebakaran yang dilaporkan.

Kebakaran hutan yang bermula dari titik permulaan KM 16-17 kini difahamkan sudah di bawah kawalan JBP namun sejak beberapa hari lalu kawasan lain juga terjejas akibat perubahan angin kuat dan cuaca yang panas, menyebabkannya merebak dan meluas ke kawasan-kawasan lain iaitu KM18 dan KM19 serta dari KM13 hingga ke KM15.

Komander ICP (Incident Command Post) atau Pos Kawalan Insiden, Awang Muhamad Ali bin Hassan ketika ditemui media di Kem Bravo KM17 semasa membuat penilaian susulan mengenai isu kebakaran petang kelmarin berkata, empat sektor yang dimaksudkan itu termasuk sektor satu di kawasan Lebuh Raya Nurada berdekatan dengan Perindustrian Sungai Bera dengan keramaian 30 orang kakitangan bomba yang ditugaskan.

Sektor dua melibatkan 15 orang kakitangan bomba ditugaskan di kawasan ‘Badas Pipeline’, sektor tiga melibatkan 15 orang ahli yang bertugas di kawasan KM17,18 dan 19 manakala itu, sektor empat melibatkan 15 orang anggota bomba yang ditugaskan di kawasan KM13 hingga 15.

Asap tebal di hutan berdekatan dengan Lebuh Raya Mumong Bypass di Belait baru-baru ini.
Asap tebal di hutan berdekatan dengan Lebuh Raya Mumong Bypass di Belait baru-baru ini.
Awang Muhamad Ali ketika ditemui media baru-baru ini di Kem Bravo KM17 semasa membuat penilaian susulan mengenai isu kebakaran.
Awang Muhamad Ali ketika ditemui media baru-baru ini di Kem Bravo KM17 semasa membuat penilaian susulan mengenai isu kebakaran.

Menurut beliau lagi, dianggarkan 95 peratus hutan dilitupi asap tebal di kawasan-kawasan yang terjejas.

Menjawab persoalan mengenai mesej viral di laman sosial Facebook mengenai salah seorang anggota bomba yang dihantar ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk menerima rawatan, beliau mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan menjelaskan bahawa kes tersebut disebabkan kesesakan nafas yang dialami oleh anggota bomba itu justeru itu diarahkan untuk mendapatkan rawatan segera.

“Keselamatan ahli-ahli bomba kami yang bertugas adalah amat penting sekali dan biarpun halangan yang dialami oleh mereka amat mencabar, namun mereka tetap berdedikasi dalam menjalankan tugas untuk menjawab mana-mana panggilan kecemasan yang diterima,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kebakaran di hutan-hutan yang terjejas itu adalah di luar jangkauan JBP dan telah menyukarkan usaha anggota bomba untuk memadam api kebakaran terutamanya pada waktu malam kerana kegelapan serta bahaya daripada pokok-pokok yang boleh tumbang akibat terbakar.

Justeru itu, tambahnya, pemantauan dan rondaan akan dilakukan untuk menilai keadaan bahaya kebakaran tersebut, dan pihak JBP akan bertindak jika kebakaran tersebut dilihat boleh merebak ke halaman rumah-rumah berdekatan dengan kawasan-kawasan hutan terutamanya di kawasan kampung-kampung pedalaman.

“Jika ada sebarang panggilan kecemasan yang berlaku di mana-mana tempat tinggal orang awam, keutamaan di sana diberikan untuk menyelamatkan orang awam dan harta benda mereka, sementara itu, beberapa orang kakitangan yang lain tinggal di kem di sini untuk memantau dan memata-matai sebarang aktiviti kebakaran yang boleh menjejaskan perjalanan pengguna-pengguna jalan raya,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA