Kebakaran hut...

Kebakaran hutan paksa penduduk berpindah

WELLINGTNON, 16 Feb – Kebakaran hutan telah memusnahkan kira-kira 11 buah rumah dan memaksa beratus-ratus penduduk di bandar New Zealand, Christchurch yang ketakutan dipindahkan, menurut pihak berkuasa hari ini.

Para pegawai pertahanan awam mengisytiharkan keadaan darurat di bandar South Island lewat semalam ketika dua kebakaran selama berhari-hari telah bergabung menjadi satu kebakaran yang begitu besar.

Majlis Bandar Christchurch berkata lebih 1,800 hektar kawasan telah terbakar di Port Hills, kawasan rupa bumi berceranggah sukar untuk dimasuki ke timur pusat bandar.

Kira-kira 1,000 orang dipindahkan dan dengan angin diramalkan bertiup kencang dan memarakkan api, pihak berkuasa memberi amaran kepada para penduduk supaya melarikan diri apabila tanda bahaya pertama.

“Kami faham, adalah sukar bagi orang ramai untuk meninggalkan rumah mereka tetapi api kebakaran boleh berubah haluan dan melarat begitu cepat,” kata sarjan kanan polis Ash Tabb.

“Jika kamu bimbang, jangan pergi terlalu lewat, adalah lebih baik selamat dari sedih.”

Dengan asap tebal menyelubungi Christchurch, para penduduk yang mempunyai penyakit pernafasan dinasihatkan berada di dalam.

Kebakaran hutan yang keterlaluan itu jarang sekali berlaku di New Zealand, yang mana turunan hujan kerap lazimnya mencegah kebakaran dari sampai ke tahap teruk yang telah dilihat di tempat-tempat seperti Australia dan pantai barat AS.

Perdana Menteri Bill English menaiki penerbangan helikopter meninjau zon bencana hari ini dan berkata kebakaran mungkin disengajakan.

“Saya hanya menerima gambaran sangat ringkas tentang kebakaran yang bermula di dua tempat kira-kira pada waktu yang sama, yang bagi saya nampak mencurigakan,” beliau memberitahu para pemberita. – AFP