Kebakaran hutan ragut 62 jiwa

PENELA, Portugal, 18 Jun – Kebakaran hutan di Portugal telah membunuh kira-kira 62 orang, kebanyakannya rentung terbakar dalam kenderaan mereka, kata kerajaan hari ini, salah satu bencana teruk seumpamanya dalam sejarah terbaru. Kebakaran meletus kelmarin di perbandaran Pedrogao Grande di tengah Portugal, sebelum merebak dengan pantas di kawasan lain.

Pada petang hari ini, hampir 900 anggota bomba dan 300 jentera masih lagi bergelut memadam kebakaran di mana pemandangan kemusnahan dapat disaksikan di seluruh bandar.

“Malangnya, ia adalah tragedi paling besar yang pernah kami saksikan beberapa tahun kebelakangan dari segi kebakaran hutan,” kata Perdana Menteri Antonio Costa, yang mengumumkan tiga hari perkabungan bermula hari ini.

Kawasan pergunungan yang luas terbentang terletak antara Pedrogao Grande, Figueiro do Vinhos hingga ke barat dan Castanheira de Pera hingga ke utara, yang 24 jam sebelumnya disinari dengan kehijauan terang pokok-pokok kayu putih dan pain, sepenuhnya musnah dijilat api.

Lapisan tebal asap putih menyelubungi kedua-dua sisi laluan jalan sehingga jarak kira-kira 20 kilometer, dengan pokok-pokok rentung rebah di tanah.

Anggota bomba berehat berhampiran jentera bomba semasa berlakunya kebakaran hutan di Penela, Coimbra, tengah Portugal pada 18 Jun. – AFP
Anggota bomba berehat berhampiran jentera bomba semasa berlakunya kebakaran hutan di Penela, Coimbra, tengah Portugal pada 18 Jun. – AFP

Kereta dan rumah yang ditinggalkan sebahagian musnah, sementara beberapa meter jauhnya polis memakai topeng muka mengelilingi mayat seorang lelaki yang dibungkus plastik putih.

Setiausaha Negara bagi Dalam Negeri, Jorge Gomes berkata 62 orang rentung, kebanyakan terperangkap dalam kereta mereka yang dijilat api di rantau Leiria.

“Sukar untuk mengatakan jika mereka mengelak dari kebakaran atau terperangkap secara tak sengaja,” katanya.

Lebih 50 orang cedera, lima kritikal, termasuk seorang anak damit dan empat anggota bomba.

“Jumlah mangsa terkorban mungkin akan meningkat. Keutamaan sekarang adalah untuk menyelamatkan mereka yang masih berada dalam bahaya,” kata Costa. – AFP