Kebakaran hutan reda

Kebakaran hutan reda

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Mac – Kebakaran hutan besar-besaran di sepanjang Mumong Bypass yang menjejaskan persekitarannya akibat cuaca panas melampau, hari ini mula kelihatan reda selepas hujan lebat turun pada awal pagi tadi.

Menurut Superintenden Kanan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Awang Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yusof, asap tebal beransur-ansur berkurangan terutamanya di Sektor 1 di Sungai Bera dan Sektor 4 di sepanjang laluan Lebuh Raya Mumong Bypass.

“Dalam masa sehari dua ini, kebakaran dijangka akan terus padam akibat turunan hujan di kawasan terbabit,” katanya.

“Bagi Sektor 2, di kawasan Badas dan seluruh kawasan berdekatan jalan, api sudah pun dipadamkan hujan yang turun awal pagi, hanya sebahagian kawasan pedalaman sahaja lagi masih terbakar.”

Salah seorang anggota bomba memadamkan kebakaran di salah satu sektor yang terjejas.
Salah seorang anggota bomba memadamkan kebakaran di salah satu sektor yang terjejas.

Menurutnya lagi, anggota Balai Bomba Sungai Liang masih beroperasi di sana untuk memadamkan kebakaran dan mengurangkan asap berbaki. Bagi kawasan Sektor 3 di KM18 dan KM16, walaupun hujan membasahi kawasan itu, namun ia masih lagi mengeluarkan asap dari tanah.

Beberapa orang anggota bomba masih beroperasi di sana, dibantu oleh anggota tentera dari Batalion Lumut, katanya.

Manakala kawasan yang jauh lagi ke dalam hutan pula, masih lagi berasap tapi dalam tahap sederhana, menurut Awang Mohd Shahreeni.

“Secara keseluruhan Sektor 1 – lapan peratus lagi asap akan dipadamkan, Sektor 2 – 10 peratus lagi asap akan dipadamkan, Sektor 3 – 20-25 peratus lagi asap akan dipadamkan dan Sektor 4 – lima peratus lagi asap akan dipadamkan,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA