Kebakaran hutan terkawal

Kebakaran hutan terkawal

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 28 Jan – Kebakaran hutan yang besar di KM 17 dan 18 Lebuhraya Mumong-Bypass Kuala Belait, dilaporkan bermula sejak 25 Januari lalu dan memusnahkan beberapa hektar hutan, telah berjaya dikawal.

Kini operasi sedang dalam fasa pemantauan serta memadam keseluruhan kesan hangus dengan membanjiri kawasan yang belum terjejas untuk menghalang sebarang insiden kebakaran berlaku lagi.

Bercakap dengan pihak media, hari ini, mengenai proses pemadaman api yang sedang giatkan dijalankan, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang memangku Stesen Komander Balai Bomba Seria, Awang Muhammad Ali bin Hassan berkata sebanyak 30 hektar kawasan sudah berada di bawah kawalan dan para anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini sudah mulai menggerakkan rancangan mereka bagi membanjiri kawasan tanah gambut secara keseluruhan (Total Flooding) mulai hari ini.

“JBP kini menggunakan ‘Heavy-Duty Water pump’ jenis MTP2 (Mobile Trailer Pump) bagi mendapatkan air dari luagan-luagan yang berdekatan dengan tempat kebakaran,” jelas beliau.

Awang Muhd Ali menunjukkan MTP2 yang digunakan oleh anggota bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran hutan.
Awang Muhd Ali menunjukkan MTP2 yang digunakan oleh anggota bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran hutan.
Sejenis 'Ground Monitor' yang digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membanjiri kawasan hutan.
Sejenis ‘Ground Monitor’ yang digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membanjiri kawasan hutan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini, turut memberikan bantuan logistik dengan menyediakan kenderaan kren ‘HIAP’ bagi mengangkut Heavy-Duty Water Pump jenis MTP2 dari Balai Bomba Seria ke kawasan kebakaran bagi tujuan ‘Total Flooding’.

JKR juga akan membantu menyediakan keperluan logistik berupa jeti sementara dan platform untuk menempatkan pam air MTP2.

Manakala Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi (JASTRe) cawangan Belait pula membekalkan sebuah trak tangki air dari cawangan Brunei-Muara bagi membantu pembekalan air.

Dengan pembekalan ini, jumlah trak tangki air yang dibekalkan adalah sebanyak empat buah; dua buah dari JKR, sebuah dari Brunei Shell Petroleum, dan sebuah lagi dari Jabatan Perhutanan.

Menurut Jabatan Daerah Belait, dua empangan air sementara telah dibina berdekatan dengan tempat kebakaran.

Seramai 25 orang anggota bomba bertugas di tempat kejadian bagi melakukan kerja pemadaman api yang diketuai oleh anggota dari Balai Bomba Seria dengan dibantu oleh Bomba Kuala Belait, Balai Bomba Sungai Liang dan Balai Bomba SPARK.

Anggota yang bertugas bertindak memadam bara-bara api dan asap di kawasan penghujung kepala api (sebelah Barat) KM17 dengan mengeluarkan dua jet menggunakan ‘dividing breeching’ dengan air diperoleh dari dua empangan yang diisi menggunakan dua buah trak tangki air JKR .

Selain itu, beberapa orang anggota Polis Diraja Brunei juga dikerahkan dalam masa tertentu ke lebuh raya tersebut untuk membantu menangani dan mengawal keadaan lalu lintas yang sering diguna pakai orang ramai untuk menuju ke Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA