Kebakaran hutan terkawal

Kebakaran hutan terkawal

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 31 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melaporkan bahawa keadaan kebakaran hutan tanah gambut pada masa ini dalam keadaan terkawal dan api yang marak telah berjaya dipadamkan daripada merebak di keseluruhan kawasan yang terlibat, dan hanya dalam keadaan berasap daripada bara-bara api tanah gambut.

JBP melaporkan, kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, akibat cuaca panas dan berangin perlahan kebakaran hutan telah berlaku di kawasan KM17 hingga KM18 Seria Bypass berdekatan dengan kawasan RPN Lorong Tengah Seria.

Pihak jabatan tersebut turut melaporkan bahawa ketika ini, asap telah dapat dikurangkan dalam anggaran 60 hingga 70 peratus, manakala misi seterusnya adalah operasi memadamkan dan menghilangkan asap yang masih keluar daripada tanah hutan gambut di kawasan kebakaran, kepada sifar asap.

Seramai 25 orang anggota bomba bertugas di tempat kejadian bagi melaksanakan kerja-kerja pemadaman api dengan diketuai oleh anggota dari Balai Bomba Seria dan dibantu oleh Bomba Kuala Belait, Balai Bomba Sungai Liang dan Balai Bomba SPARK.

Kebakaran hutan di tempat yang terjejas.
Kebakaran hutan di tempat yang terjejas.

Sementara itu, dua takungan air sementara masih lagi ditempatkan berdekatan dengan tempat kebakaran, dan anggota bertugas bertindak memadam bara-bara api serta asap di kawasan penghujung dengan menggunakan kaedah Total Flooding.

Selain itu, mereka juga membahagikan kawasan kebakaran kepada tiga sektor iaitu sektor pertama (400 meter ke dalam dari jalan kecil) mereka menggunakan ‘Heavy Duty Water Pump’ jenis MTP 2 bagi mendapatkan air dari luagan-luagan yang berdekatan tempat kebakaran dengan mengeluarkan tiga jet air untuk usaha pemadaman asap.

Sektor kedua (400 meter ke sebelah barat jalan kecil) pula menggunakan Wajax Pump (berhampiran dengan base camp) yang mengeluarkan jet air dari dua takungan yang dibekalkan secara berterusan oleh trak tangki air Jabatan Kerja Raya, JASTRE dan Jabatan Perhutanan, manakala itu, sektor ketiga (800 meter ke sebelah barat dari jalan kecil) pula menggunakan ‘Flooding Pump’ bagi mendapatkan air secara terbuka dari luagan-luagan yang berdekatan tempat kebakaran.

Jabatan itu juga melaporkan, sebagai langkah berjaga-jaga mereka sentiasa membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan yang dahulunya pernah terjadi kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA