Kebakaran hutan teruk landa Portugal

Kebakaran hutan teruk landa Portugal

LISBON, 10 Ogos (AFP) – Hampir 1,000 anggota pemadam dan enam helikopter serta tiga kapal terbang dikerahkan di Portugal semalam untuk memadamkan kebakaran hutan yang melanda bahagian utara dan tengah negara tersebut, menurut pihak berkuasa.

Kebakaran paling teruk berlaku di Vila Nova de Cerveira di utara wilayah Minho dan masih berterusan merebak akibat “kepayahan mengakses kawasan tinggi, angin kencang, suhu tinggi dan kemarau yang teruk,” menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, dengan 250 orang berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

Televisyen Portugal menyiarkan imej para penduduk yang dalam keadaan ketakutan ketika kebakaran hutan menghampiri rumah kediaman mereka.

Satu lagi kebakaran besar berlaku di Miranda do Corvo, tidak jauh dari bandar tengah Coimbra, dengan rumah-rumah kediaman juga terancam.

Anggota pemadam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di bahagian utara dan tengah Portugal. – Reuters
Anggota pemadam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di bahagian utara dan tengah Portugal. – Reuters

Kira-kira 100 kilometer ke timur Covilhadua anggota bomba mengalami kecederaan ketika menangani satu lagi kebakaran yang memaksa pihak berkuasa mengosongkan kawasan kem dan sebuah hostel sebelum kebakaran berjaya dikawal.

Selepas terselamat daripada kebakaran hutan tahun lepas, Portugal kali ini dilanda kebakaran hutan yang teruk musim panas ini.

Hampir 80 peratus wilayah negara itu dilanda kemarau yang teruk, keadaan yang kemungkinan semakin buruk lagi pada Ogos, menurut Agensi Meteorologi Portugal IMPA.