Kebakaran Indonesia melebihi gas rumah hijau AS

Kebakaran Indonesia melebihi gas rumah hijau AS

JAKARTA, 21 Okt – Kebakaran di sebahagian besar kawasan Indonesia sedang meluahkan lebih banyak gas rumah hijau ke atmosfera setiap hari berbanding aktiviti ekonomi Amerika Syarikat (AS), menurut anggaran daripada pemerhati alam sekitar global.

Penilaian mengejutkan itu muncul ketika Jakarta mengatakan jumlah kebakaran telah meningkat di seluruh kepulauan berkenaan meskipun usaha memadam kebakaran dari pelbagai negara, dan mengumumkan pelan untuk mengerahkan lagi pesawat pengangkut air yang banyak.

Selama hampir dua bulan, beribu-ribu kebakaran berpunca daripada perladangan tebas dan bakar telah menyelubungi sebahagian besar kawasan Asia Tenggara dengan jerebu, menyebabkan penyakit pernafasan meningkat, sekolah ditutup dan berpuluh penerbangan dan beberapa acara antarabangsa dibatalkan.

Kebanyakan kebakaran berlaku di tanah gambut tropika yang kaya dengan karbon tetapi sedang dibersihkan pada kadar pesat untuk membuka laluan kepada pertanian, terutamanya ladang kelapa sawit.

Institut Sumber Dunia (WRI), menggunakan hasil dapatan daripada Pangkalan Data Pengeluaran Kebakaran Global, berkata dalam satu laporan terbaru sejak awal September, pengeluaran karbon daripada kebakaran telah melebihi pengeluaran harian purata AS pada 26 daripada 44 hari.

Pengguna jalan raya memasang lampu kenderaan mereka pada hari siang di bandar Palangkaraya, salah sebuah bandar yang paling teruk dilanda jerebu di wilayah Kalimantan tengah. – AFP
Pengguna jalan raya memasang lampu kenderaan mereka pada hari siang di bandar Palangkaraya, salah sebuah bandar yang paling teruk dilanda jerebu di wilayah Kalimantan tengah. – AFP

Amerika Syarikat adalah sumber gas rumah hijau kedua terbesar di dunia selepas China.

“Pembakaran tanah gambut tropika adalah amat penting kepada pengeluaran gas rumah hijau disebabkan kawasan berkenaan menyimpan sejumlah karbon tertinggi di Bumi, berkumpul beribu-ribu tahun lamanya,” kata WRI.

“Pembakaran tanah berkenaan untuk pertanian, seperti penukaran kepada ladang kelapa sawit atau kayu pulpa, membawa kepada pertambahan besar dalam pengeluaran gas rumah hijau.”

Kebakaran dan jerebu di seluruh rantau berlaku setiap tahun ketika musim kering apabila tanah dibersihkan menerusi pembakaran, sering menimbulkan kemarahan negara jiran Indonesia seperti Malaysia dan Singapura. – AFP