Kebakaran ragut satu nyawa

Kebakaran ragut satu nyawa

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kejadian kebakaran yang hampir meranapkan sebuah rumah di Kampung Delima 2, pagi tadi, telah meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan warga Filipina, berusia 3 tahun, yang dipercayai lemas akibat asap dan melecur.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kanak-kanak perempuan berkenaan terperangkap dalam bilik tidur yang menyebabkannya lemas menghidu asap dan melecur.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di mana mangsa disahkan meninggal dunia.

Beberapa orang saksi yang berada di tempat kejadian, dekat Sekolah Rendah Anggerek Desa, memberitahu Media Permata, api merebak dengan cepat dan memusnahkan hampir keseluruhan rumah berkenaan.

Menurut mereka, semasa kejadian itu, beberapa orang termasuk warga emas dan kanak-kanak berada di dalam rumah berkenaan tetapi mereka berjaya untuk keluar menyelamatkan diri.

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha untuk mengawal dan memadam kebakaran.
Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha untuk mengawal dan memadam kebakaran.
Anggota Bomba dan Penyelamat memberikan pernafasan kecemasan kepada kanak-kanak yang telah menjadi korban kebakaran tersebut. – Gambar Rahmat Haji Abdul Rahman
Anggota Bomba dan Penyelamat memberikan pernafasan kecemasan kepada kanak-kanak yang telah menjadi korban kebakaran tersebut. – Gambar Rahmat Haji Abdul Rahman

Namun begitu, disebabkan api yang merebak dengan pantas, para penghuni gagal untuk menyelamatkan barang-barang mereka yang musnah dalam kejadian berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 10:23 pagi tadi dan mengerahkan tiga buah jentera bomba dari Balai Bomba Berakas bersama 14 anggota bomba yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Noor Aflan.

Semasa tiba di tempat kejadian, api telah marak bagaimanapun, mereka berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam masa 14 minit.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, kejadian dipercayai berpunca daripada kerosakan pendawaian yang lebih beban dan usang, dengan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah $90,000.

Sehubungan itu, pihak bomba dan penyelamat menasihatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan pencegahan di rumah seperti memastikan peralatan elektrik yang tidak diperlukan ditutup, tidak meninggalkan masakan, dan mengawasi anak-anak dari bermain dengan api.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, satu lagi kejadian kebakaran juga telah dilaporkan berlaku di Kampung Serusop dengan melibatkan sebuah rumah.

Balai Polis Berakas menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 11:57 pagi.

Bagaimanapun, Pasukan Polis Diraja Brunei melaporkan tiada kecederaan berlaku dalam kejadian berkenaan dan siasatan ke atas kedua-dua kejadian berkenaan sedang dijalankan.

ARTIKEL YANG SAMA