Kebakaran ranapkan tempat tinggal sebuah keluarga

Kebakaran ranapkan tempat tinggal sebuah keluarga

MIRI, 12 Julai – Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah kebakaran meranapkan rumah kayu kediaman mereka di Kampung Belimbing Ukong, Jalan Medamit Limbang pukul 3 pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Limbang, Edmund D. Mahai Amboh berkata jentera yang digunakan pihak bomba tidak dapat melepasi jambatan kayu untuk ke kampung itu, menyebabkan mereka terpaksa berpatah balik ke balai.

“Pihak bomba terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda Hilux dan Kembara dan tiba di tempat kejadian pada 6.29 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Edmund berkata laporan awal yang baru diterima petang ini, semua anggota keluarga itu selamat namun rumah kediaman musnah sama sekali manakala sebuah rumah kayu berhampiran, yang didiami enam sekeluarga tidak mengalami kebakaran serius.

“Setakat ini data yang kami peroleh tidak lengkap dari segi umur mangsa dan pasukan penyiasat masih berada di tempat kejadian,” katanya sambil menambah laporan penuh mungkin dapat dibuat esok memandangkan lokasi kebakaran agak jauh. – Bernama