Kebakaran: Rugi $50 juta sejak 2010

Kebakaran: Rugi $50 juta sejak 2010

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sejak 2010, kira-kira 600 kes kebakaran rumah dan bangunan telah berlaku di Negara Brunei Darussalam di mana pada keseluruhannya kebakaran berkenaan telah mengakibatkan kerugian harta benda bernilai kira-kira $50 juta.

Kejadian kebakaran berkenaan setentunya mempunyai impak yang negatif dari sudut kerosakan fizikal, ekonomi dan menjejaskan fungsi sesebuah organisasi yang terjejas.

Dalam hubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam keselamatan kebakaran di pihak pengurusan dan penganjuran Seminar Pengurusan Keselamatan Kebakaran selama dua hari bermula hari ini diharap mampu mencapai matlamat itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman semasa Perasmian Seminar Pengurusan Keselamatan Kebakaran 2016 yang berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serba Guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan seminar dua hari itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Pameran mengenai punca-punca kebakaran dari Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perkhidmatan Elektrik turut diadakan semasa seminar itu.
Pameran mengenai punca-punca kebakaran dari Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perkhidmatan Elektrik turut diadakan semasa seminar itu.
Antara peserta yang menyertai seminar dua hari di Mes Pegawai, Dewan Serba guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat itu.
Antara peserta yang menyertai seminar dua hari di Mes Pegawai, Dewan Serba guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat itu.

Turut hadir ialah para pegawai kanan, pegawai, anggota serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat, para peserta seminar dari kementerian dan jabatan kerajaan serta syarikat-syarikat swasta.

Awang Yahya berkata, bahawa pada asasnya, kebakaran dapat dicegah melalui pengurusan yang teratur seperti mempunyai pelan-pelan tindakan, mempunyai latihan yang mencukupi bagi tindakan awal serta mempunyai sistem keselamatan kebakaran yang berfungsi dan berkesan.

Oleh demikian, tambah Awang Yahya, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menyediakan program-program yang bersesuaian dengan keperluan pihak-pihak yang berkenaan di mana bermula 2016, jabatannya akan menyediakan kursus Pengurus Keselamatan Kebakaran (Fire Safety Managers) bagi memberi pengetahuan dan latihan kepada orang ramai khususnya di peringkat pengurusan.

“Antara isi kandungan kursus ini ialah tatacara penyediaan Pelan Kecemasan Kebakaran, Pelan Pencegahan Kebakaran, pengendalian latihan fire drill dan pengurusan pasukan Fire Marshal serta tatacara pemeliharaan System Fire Safety di tempat kerja masing-masing.”

Sementara itu, Penolong Kaunselor, Council of Local Authorities International Relations (CLAIR), Singapore, Takashi Nabeoka menyatakan harapan menerusi penganjuran bersama seminar itu, diharap amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan oleh Jepun dalam pengurusan dan pembendungan kejadian kebakaran dapat dikongsi supaya dapat membantu dalam meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan khususnya dalam pengurusan keselamatan kebakaran.

Beliau melahirkan harapan dengan kehadiran pakar dari Jepun di seminar itu, para peserta mampu menimba ilmu pengetahuan dan mendapatkan penerangan mengenai sistem pengurusan kebakaran serta pencegahan kebakaran menyeluruh yang dilaksanakan oleh Jepun yang bukan sahaja melibatkan penyertaan kerajaan dan anggota bomba tetapi juga orang ramai dan masyarakat setempat.

Seminar itu turut dihadiri oleh seramai 75 orang peserta yang mana ia bermatlamat untuk meningkatkan lagi piawaian keselamatan kebakaran dalam bangunan menerusi pengurusan keselamatan kebakaran di mana melalui kegiatan keselamatan kebakaran dan langkah-langkah pencegahan kebakaran yang perlu dilaksanakan dapat meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan penghuni bangunan.

Seminar itu, menyaksikan penerangan dalam pelbagai topik oleh pakar khas dari Jabatan Bomba Tokyo, Jepun, Toshihiko Yabe termasuk mengenai sistem pemeriksaan dan prosedur pentadbiran, sistem pengurusan pencegahan kebakaran, pelan memadam kebakaran serta operasi memadam kebakaran.

Sementara itu, seminar juga mendengarkan pembentangan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang diwakili oleh Pemangku Penguasa Kanan Taib bin Haji Abdul Kahar mengenai pendekatan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam penambahbaikkan pengurusan keselamatan kebakaran di Negara Brunei Darussalam serta tatacara pengendalian pemeliharaan sistem perlindungan dan pencegahan kebakaran di bangunan-bangunan.

Di samping itu, seminar berkenaan juga mempunyai dua sesi perkongsian khas mengenai pengurusan keselamatan oleh dua orang penceramah khas iaitu Pengurus Kakitangan Abdul Razak Holdings, Pengiran Haji Mansor bin Pengiran Haji Jaya dan Pengarah Operasi Hotel Orchid Garden, Awang Mohd Iswandi bin Maaruf.

ARTIKEL YANG SAMA