Kebakaran rumah di kampung Palestin

Kebakaran rumah di kampung Palestin

NABLUS, Wilayah Palestin, 20 Julai – Sebuah rumah terbakar hari ini di sebuah kampung Palestin tempat berlakunya serangan bakar oleh pelampau Yahudi setahun yang lalu membunuh seorang anak damit dan orang tuanya, kata para penduduk dan pihak berkuasa.

Penduduk di kampung Duma di Tebing Barat yang diduduki dan seorang pegawai Palestin berkata mereka mensyaki serangan pelampau lain, namun anggota bomba Palestin tidak memberi komen punca kebakaran.

Kebakaran itu telah memusnahkan kediaman Mohammed Dawabsha, terletak berhampiran rumah yang diserang bom api pada 31 Julai tahun lepas.

Dawabasha dan isterinya mengalami kesesakan nafas, namun tidak ada mangsa lain yang cedera. Polis Israel berkata mereka masih lagi menyiasat puncanya, namun mereka sejauh ini tidak menemui sebarang bukti bagi serangan pelampau.

Dawabsha berkata dia dan isterinya mendengar bunyi bising di luar rumah mereka di tengah-tengah malam.

“Kami melihat keluar dan sejurus selepas itu, kami mendengar bunyi letupan di bilik tidur dan melihat kebakaran besar,” katanya. – AFP