Kebanjiran data punca gagal buat keputusan

Kebanjiran data punca gagal buat keputusan

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perniagaan hari ini tidak pernah mempunyai data yang begitu banyak untuk kegunaan mereka, tetapi ramai yang gagal  menggunakan maklumat tersebut bagi membantu mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima.

Ironinya, jumlah data yang besar dan pelbagai telah mengaburkan maklumat berharga dan perniagaan sukar untuk menggunakan maklumat itu untuk keuntungan mereka, demikian menurut penemuan dari TNS, sebuah agensi penyelidikan global yang terkemuka, dalam kaji selidik ke atas lebih daripada 2,700 profesional pemasaran di seluruh Asia Pasifik.

Katanya, perniagaan di Malaysia telah membuat banyak pelaburan ke dalam platform data digital dan sistem pengesanan bagi membantu mereka memahami persekitaran dalam talian yang mencabar.

“Kebanyakan data ini memasuki jabatan pemasaran, dengan satu daripada tiga pemasar (34 peratus) menguruskan data masa sebenar sebagai sebahagian daripada peranan mereka.

“Bagaimanapun, hampir tiga perempat (73 peratus) daripada pemasar di Malaysia mengakui, mereka mendapati sukar untuk mengintegrasikan data dari sumber-sumber yang berbeza,” kata TNS dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dengan begitu banyak maklumat yang ada, pemasar tahu mereka akan dapat membuat keputusan dalam masa nyata, tetapi ramai yang berhadapan dengan kesukaran dalam menyatukan pengukuran tradisional dan digital.

Pengarah Kepakaran dan Kesan Pelanggan TNS, Dan Foxman, berkata banyak perniagaan telah dibanjiri dengan jumlah data yang sangat banyak.

“Dengan adanya peningkatan data, sepatutnya akan membolehkan keputusan yang lebih baik dibuat, tetapi banyak pemasar dibanjiri oleh maklumat yang menjejaskan keupayaan mereka untuk berfikir secara strategik,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA