Kebanyakan pasaran Asia ditutup rendah

Kebanyakan pasaran Asia ditutup rendah

HONG KONG, 5 Jan (AFP) – Pasaran Asia kebanyakannya jatuh pada hari dagangan kedua 2016, sehari selepas keadaan kucar-kacir global semalam yang menyaksikan dagangan digantung di pasaran China.

Keadaan ini mengimbau kita kembali kepada gelora pada musim panas lalu yang menyaksikan trilion hilang daripada penilaian, kebanyakan saham serantau jatuh beberapa minit pertama dagangan sebelum melonjak naik dan turun sepanjang hari.

Penjualan Isnin dirangsang petunjuk data aktiviti perkilangan China yang sekali lagi menguncup pada Disember, bukti terkini menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia itu berhempas pulas dengan kadar pertumbuhan tahunan paling perlahan dalam 25 tahun.

Data itu, disusuli tamatnya langkah kawalan ‘circuit breaker’ yang dibawa masuk untuk membendung kejatuhan saham tahun lalu, menyebabkan saham Shanghai jatuh hampir tujuh peratus. Pengawal selia memberhentikan dagangan pada awal Isnin, dagangan pertama 2016.

“Sebab utama kejatuhan semalam ialah kebimbangan ekonomi China yang tidak memberangsangkan.

“Mekanisma circuit breaker itu lebih kepada mempercepatkan kejatuhan harga,” kata penganalisis di Northeast Securities, Shen Zhengyang kepada AFP.

Pemantau pasaran, Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China (CSRC), cuba menenangkan panik dengan mempertahankan langkah itu.

“Ia memberi impak besar dalam menstabilkan pasaran dan fungsi utamanya ialah memberi tempoh untuk menenangkan pasaran bagi mengelak atau mengurangkan keputusan terburu-buru yang dibuat ketika perubahan mendadak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di mikroblog.

Shanghai jatuh tiga peratus pada pembukaan Selasa sebelum berubah haluan untuk akhirnya ditutup 0.3 peratus lebih rendah.

Di Tokyo, Nikkei 225 susut 0.4 peratus kepada 18,374.00. Di Hong Kong, Hang Seng jatuh 0.5 peratus kepada 21,215.53.

ARTIKEL YANG SAMA