KEBE juara dodgeball iRestcafe

KEBE juara dodgeball iRestcafe

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Muiz Matdani

Gambar oleh iRestcafe

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Enam pasukan berentap dalam perlawanan dodgeball anjuran iRestcafe and Event Management bersempena dengan bulan Ramadan 1437 Hijrah di Bangunan DAR Takaful di ibu negara, baru-baru ini.

Tampil juara dalam perlawanan berkenaan ialah Pasukan KEBE yang hanya tewas satu perlawanan daripada lima perlawanan keseluruhan untuk meninggalkan saingan terdekatnya iaitu Pasukan Helang X di tempat kedua.

Berada di tempat ketiga Pasukan Lanun yang disaingi rapat oleh Pasukan Little Giants yang berada di kedudukan keempat diikuti oleh Pasukan Nice One dan Black Marlin yang terpaksa akur di tempat kelima dan keenam.

Menurut penganjur dari iRestcafe and Event Management, Haji Muhammad Abdul Azim bin Haji Zakeria @ Haji Aisa menegaskan kini semakin ramai golongan belia dan remaja meminati sukan dodgeball dan hasil pemerhatian melihat setiap penganjuran akan menarik minat banyak penyertaan.

Pasukan yang memenangi pertandingan dodgeball anjuran iRestcafe baru-baru ini.
Pasukan yang memenangi pertandingan dodgeball anjuran iRestcafe baru-baru ini.

“Justeru kami mengambil peluang untuk membuat kelainan pada kali ini untuk menganjurkan sukan berkenaan sebagai cubaan kepada acara yang lebih besar di masa akan datang dan dalam pertandingan kali ini, kami menjemput pemain-pemain dodgeball tempatan untuk turut serta memeriahkan lagi pertandingan,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai tujuan pertandingan katanya, “Dengan adanya penganjuran seperti ini Irest akan berpeluang mengumpulkan bakat baru sukan tempatan di samping dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama peserta pengurusan dan pemain.

“Alhamdulillah, sambutan daripada para peserta adalah menggalakkan dan sebahagian besar adalah para belia dan rata-rata mereka menyertai pertandingan ini sebagai acara riadah di bulan Ramadan selepas selesai mengerjakan solat sunat tarawih di malam hari,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA