Kebenaran telah terbukti

Kebenaran telah terbukti

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengkritik laporan oleh akhbar dalam talian, Saudi Gazette yang menyiarkan berita penahanan seorang lelaki warga Brunei Darussalam yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganasan di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam titah sempena Tahun Baru Hijrah 1438 yang disiarkan secara langsung semalam, Baginda menekankan bahawa secara peribadi, dari awal-awal lagi adalah sukar untuk mempercayai kesahihan berita tersebut dan tidak munasabah orang Brunei boleh terlibat dengan aktiviti seperti itu.

Orang-orang Brunei, tambah Baginda, di samping sudah matang untuk membuat penilaian, mereka juga memang tidak ada masa atau keinginan untuk terbabit dengan sebarang anasir di mana sahaja.

“Mereka lebih sibuk membangunkan Brunei yang aman di bawah kepimpinan yang telus dan adil berpandukan undang-undang dan ajaran Islam tulen.

“Alhamdulillah, apa yang Beta duga sebagai tidak boleh berlaku itu, pada akhirnya telah terbukti benar. Segala puji-pujian bagi Allah jua, yang telah memelihara Brunei dan rakyatnya daripada terlibat atau dilibatkan dengan perkara-perkara yang kita sendiri tidak ada kena mengenainya,” titah Baginda lagi.

Baginda Sultan ketika berkenan menyampaikan titah sempena Tahun Baru Hijrah 1438. -  Infofoto.
Baginda Sultan ketika berkenan menyampaikan titah sempena Tahun Baru Hijrah 1438. – Infofoto.

Terdahulu itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menyentuh mengenai Sambutan Tahun Baru Hijrah yang menurut Baginda bertujuan untuk mengajak umat Islam menghayati konsep hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi kita, Sayyidina Muhammad S.A.W yang memberi impak besar kepada penyebaran agama Islam.

Keazaman Baginda Rasulullah S.A.W berhijrah meninggalkan tanah tumpah darah dengan menempuh segala kesukaran adalah satu strategi untuk menyelamatkan akidah.

“Strategi ini, tidak diragukan lagi adalah strategi ketuhanan, kerana bukanlah berlakunya hijrah itu atas perintah Allah?”

Hijrah Rasulullah SAW, titah Baginda lagi, membawa sinar kepada seluruh alam, dengan berlakunya hijrah, agama Islam telah selamat dan dapat menyumbang kepada kemanusiaan sejagat.

Baginda seterusnya menjelaskan, dalam Islam terdapat ‘Maqasid Syariah’ bagi menjaga atau memelihara lima perkara asasi yang diperlukan oleh semua orang, iaitu menjaga atau memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Menurut Baginda, di dalam lain-lain akidah tidak ada semua ini, kalau ada pun, mungkin tidak semua. Tetap Islam adalah meliputi, kelima-lima itu mesti dipenuhi untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Baginda seterusnya menekankan, salah satu elemen penting yang ditekankan oleh Islam adalah menjaga dan memelihara nyawa, kerana itu, Islam adalah melarang keras umat Islam membunuh diri, sekali gus mengharamkan segala bentuk pembunuhan terhadap sekalian hamba Allah dan makhluk yang tidak berdosa.

Inilah antara ajaran suci agama Islam, ajaran ini sangat menyumbang kepada keamanan dan kerukunan hidup sesama insan, tidak kira apa jua pegangan atau anutan.

“Jika ia benar-benar diamalkan, sudah barang tentu, tidak akan wujud jenayah pembunuhan atau kekejaman atau keganasan,” titah Baginda.

“Jadi adalah dusta dan tidak berasas sama sekali melibatkan Islam dengan keganasan. Brunei sangat memahami perkara ini, dan telah pun sekian lama menikmati kehidupan yang selamat di bawah panji-panji Islam tanpa sebarang masalah,” titah Baginda lagi.

Brunei, titah Baginda lagi, sudah benar-benar matang dalam kehidupan beragama, rakyatnya juga tidak perlu lagi diajar bagaimana memilih yang terbaik untuk dirinya. Semuanya itu sudah sempurna dilalui dan malah telah menjadi pegangan yang mantap.

Dalam mengakhiri titah, Baginda dan kerabat Baginda mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1438, semoga dengan kedatangannya akan membawa sinar kepada bangsa dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA