Keberanian, semangat kental para atlet perlu dipuji

Keberanian, semangat kental para atlet perlu dipuji

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Meskipun tewas kepada Pasukan Korea dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thailand yang ke-31 tahun 2016, semangat kental Pasukan Regu Brunei perlu diberi pujian dalam usaha dan perjuangan mereka ketika beraksi pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan pertama kategori itu, pasukan negara terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pasukan Korea apabila pasukan berkenaan menang pada set pertama dengan mata 21-8 sebelum tewas kepada Pasukan Filipina pada sebelah petang.

Pasukan negara perlu diberikan pujian kerana meskipun tewas di tangan Filipina, pasukan negara yang terdiri daripada gandingan pemain muda berjaya memaksa Pasukan Filipina untuk bermain dalam set penentuan setelah menebus kekalahan set pertama dengan mata 21-19 dan 18-21.

Namun pasukan negara sekali lagi dikecewakan apabila terpaksa pula menerima kekalahan pada set penentuan dengan mata 13-21 dan menurut pengurus pasukan, Awang Isa ketika dihubungi menegaskan Pasukan Korea adalah pasukan yang kuat dan sukar untuk ditewaskan.

Gambar ramai Pasukan Brunei yang menyertai kejohanan tersebut. - Gambar PESTABARU
Gambar ramai Pasukan Brunei yang menyertai kejohanan tersebut. – Gambar PESTABARU

“Pemain muda seperti Muhammad Azri bin Awang Abdul Harith, pemain muda negara menunjukkan persembahan yang baik dan gandingan bersama pemain berpengalaman seperti Mohammad Selamat bin Yakub selaku tekong dan Zatie Hidayat bin Saidi adalah pasukan yang mampu memberikan cabaran,” ujarnya.

Antara yang akan diberikan tumpuan selepas perlawanan itu adalah daripada aspek pukulan bola, latihan gelanggang, bola pertama, servis dari luar untuk perlawanan regu dan berpasukan nanti. Beliau juga menegaskan rasa optimistiknya kepada pasukan negara dalam kejohanan itu.

“Harapan saya supaya pemain baru akan mendapat pengalaman dan pendedahan yang berguna dalam kejohanan kali ini dan menjadikannya sebagai platform persiapan dan persediaan bagi kejohanan peringkat negara BIMP-EAGA dan Sukan Asia Tenggara tahun hadapan,” tegasnya lagi.

Pasukan Regu Brunei Darussalam hari ini akan menentang Pasukan Laos dan seterusnya bertemu dengan Pasukan Myanmar, dan Jepun esok. Sementara itu pada 20 Oktober pula, pasukan negara akan meneruskan cabaran berpasukan menentang Indonesia dan Singapura pada 22 Oktober nanti.